Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jenazah Joey BPR selamat dikebumikan
Diterbitkan:  Aug 29, 2026 6:44 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Jenazah bekas vokalis kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Allahyarham Johari Mat Rozekhi atau lebih dikenali sebagai Joey, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana petang ini.

Lebih 100 termasuk keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan artis hadir memberikan penghormatan terakhir ketika pengebumian jam 5.45 petang, lapor Harian Metro.

Antara artis tanahair yang hadir ialah Baggio Damasutra, M Nasir, Hattan, Safura Ya'cob, Sahronizam Noor, Aziz Bakar, Eddie Slam dan Rozita Rohaizad.

Bagaimanapun, tiga anggota BPR yang kini menetap di Johor Bahru, iaitu Awang, Yem Bai dan Enal, tidak sempat hadir kerana terkandas dalam kesesakan lalu lintas.

Sebelum itu, isteri Allahyarham, Zarinah Zainal, memaklumkan bahawa Joey meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada jam 8.11 pagi akibat pendarahan otak serta komplikasi berkaitan jantung.

Menurut Zarinah, Joey sebelum itu sempat mengadakan persembahan di Laman Santai, Istana Budaya, semalam.

Allahyarham menyanyikan dua lagu sebelum tiba-tiba rebah dan kemudiannya dikejarkan ke HKL menggunakan ambulans.

BPR yang mula aktif sekitar 1985 menjadikan Joey antara tonggak penting dalam perjalanan kumpulan berkenaan, khususnya dalam mengukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tempatan.

Sepanjang bersama BPR, Allahyarham menyumbangkan vokal bagi sejumlah lagu yang kekal dikenang sehingga hari ini, antaranya Aku Hanya Serangga, Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin.

BPR turut melalui zaman kegemilangannya menerusi beberapa album popular termasuk Selamat Pagi Malaysia (1986), Bisa (1987), Kelab Jiwa Luka (1990) dan Era 90-an (1991).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS