Suasana hening subuh di ibu kota pentadbiran negara bertukar meriah dengan “lautan manusia” apabila puluhan ribu pengunjung mula membanjiri Dataran Putrajaya pagi ini bagi menyaksikan kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2026.
Tinjauan Bernama seawal 3.30 pagi mendapati pengunjung tanpa mengira usia sanggup berjalan kaki sejauh beberapa kilometer dalam suasana gelap sebelum subuh selepas kenderaan diletakkan jauh dari kawasan tumpuan sambutan bagi mendapatkan kedudukan paling hadapan berhampiran dengan pentas utama.
Semangat kemerdekaan jelas terpancar dengan ramai ibu bapa membawa anak kecil di dalam kereta sorong bayi, manakala golongan Orang Kurang Upaya turut tidak ketinggalan memeriahkan sambutan walaupun berkerusi roda di tengah-tengah lautan manusia.
Bagi menjamin keselamatan dan kelancaran aliran trafik berikutan limpahan orang ramai, laluan utama di sekitar Dataran Putrajaya mula dikawal ketat oleh anggota polis trafik sejak awal pagi ini.
Keceriaan dan semangat patriotisme rakyat Malaysia turut direstui dengan cuaca pagi yang baik dan cerah, setakat ini.
Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di stesen Putrajaya mencatat paras sederhana pada bacaan 79.
Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan yang dijangka menarik kehadiran kira-kira 80,000 pengunjung itu menyajikan pelbagai persembahan bagi menyemarakkan semangat patriotisme, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung di Dataran Putrajaya, malah mereka yang menyaksikannya secara langsung menerusi televisyen atau media sosial.
- Bernama
