Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Tinggi teliti dakwaan saksi ditekan beri keterangan terhadap Rosmah

Mahkamah Rayuan mengarahkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meneliti bukti tambahan yang didedahkan pada awal pendengaran rayuan Rosmah Mansor hari ini, dalam tempoh dua minggu daripada tarikh 10 September.

Dalam perkembangan mengejutkan pada rayuan yang dinanti-nantikan itu, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak itu memohon untuk mengemukakan bukti tambahan berupa akuan berkanun (SD) dan afidavit sokongan yang dibuat oleh saksi pendakwaan ke-16, Rayyan Radzwill Abdullah.

Rayyan, bekas rakan niaga kepada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsuddin, merupakan antara tiga saksi utama pendakwaan dalam kes berkenaan.

Dalam SD itu, Rayyan mendakwa dia telah diugut dan ditekan oleh ketua pendakwaan ketika itu, mendiang Gopal Sri Ram, supaya memberi keterangan terhadap Rosmah.

Rayyan mendakwa Sri Ram antara lain berkata:

“Penyihir ini mungkin tidak bersalah dalam kes ini, tetapi ini satu-satunya peluang untuk mengenakannya atas semua dosa yang dilakukannya terhadap negara. Jadi, sila bekerjasama atau anda akan berdepan masalah besar”.

Panel hakim membenarkan permohonan Rosmah di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 selepas mendapati penolakan permohonan itu berisiko menyebabkan kegagalan keadilan.

Hakim Choo Kah Sing yang membacakan keputusan panel hakim berkata pihak peguam Rosmah secara munasabah tidak mungkin menjangka dapat memperoleh bukti yang didakwa disembunyikan atau berada dalam simpanan saksi pendakwaan ketika perbicaraan.

“Dakwaan bahawa keterangan saksi telah terjejas akibat tekanan pihak pendakwaan menyentuh soal integriti proses menentukan fakta,” katanya.

Panel hakim turut dianggotai hakim Azhahari Kamal Ramli yang mempengerusikan prosiding hari ini dan K Muniandy.

Pengurusan kes

Panel hakim kemudiannya menetapkan 10 September untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi dan mengarahkan perkara itu didengar oleh hakim Mahkamah Tinggi yang baru dalam tempoh dua minggu selepas tarikh berkenaan.

Panel hakim menjelaskan Mahkamah Tinggi akan meneliti kenyataan Rayyan bersama SD dan afidavit tambahanna. Rayyan juga akan menjalani pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 hari pada September ini untuk mendengar rayuan Rosmah bermula hari ini.

Bagaimanapun, susulan perkembangan itu, pendengaran rayuan ditangguhkan ke 14 hingga 16 Oktober dan 19 hingga 23 Oktober.

Selepas prosiding hari ini, peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, memberitahu media bahawa Mahkamah Tinggi akan menyediakan laporan untuk pertimbangan Mahkamah Rayuan sebagai sebahagian daripada proses pendengaran rayuan tersebut.

Rosmah, 74, merayu terhadap sabitan atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Pada 2022, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda rekod RM970 juta terhadap Rosmah, dengan tambahan hukuman penjara 30 tahun sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

SD Rayyan

Pada 2020, Rayyan memberi keterangan bahawa Saidi mengaku membayar RM6.5 juta kepada Rosmah sebagai balasan atas bantuannya dalam mendapatkan projek berkenaan untuk syarikat itu.

Enam tahun kemudian, menerusi SD dan afidavit sokongan yang dibuat pada 20 Julai tahun ini, Rayyan mendakwa dia berdepan tekanan daripada pihak pendakwaan untuk memberikan keterangan serta mendakwa sebahagian bahan bukti yang diserahkannya kepada pendakwaan ketika itu tidak dimasukkan dalam kenyataan saksinya.

Dalam afidavit sokongan itu, Rayyan berkata:

“Saya ingin menegaskan bahawa proses menyediakan kenyataan saksi saya menghasilkan dokumen yang tidak mengandungi semua perkara berkaitan yang ingin saya sampaikan bagi memberikan gambaran sebenar mengenai kejadian tersebut.

“Terdapat perkara berkaitan yang saya bangkitkan tetapi tidak dimasukkan, manakala kenyataan lain dimasukkan seolah-olah saya sendiri menyaksikan peristiwa yang sebenarnya tidak saya lihat.

“Saya juga diberi amaran bahawa saya hanya akan dipanggil sebagai saksi sekiranya saya membantu, dan terdapat kemungkinan saya akan didakwa jika enggan memberi keterangan sebagai saksi pendakwaan.

“Bagaimanapun, saya tidak mengendahkan ugutan tersebut dan tetap dengan bantahan saya pada ketika itu.”


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS