Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas menteri bagi membantu siasatan berkaitan isu yang dibangkitkan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).
Menurut catatan SPRM di media sosial, bekas menteri berkenaan ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi berhubung kes melibatkan pajakan hotel di Arab Saudi.
Individu itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok untuk permohonan reman.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek berkenaan dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
“Suspek akan direman di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi esok,” katanya.
Sebelum ini RCI Tabung Haji antara lain meneliti penyewaan jangka panjang oleh TH bagi empat hotel di Makkah dan Madinah antara 2015 hingga 2017, yang melibatkan kira-kira 1.43 bilion riyal Saudi dalam pembayaran pendahuluan.
Laporan RCI mengetengahkan kelemahan dalam proses usaha wajar dan kawalan risiko, manakala bayaran sewa kemudiannya tertunggak sehingga mendorong TH mengambil tindakan undang-undang di Arab Saudi.
Dalam perkembangan berasingan, seorang bekas pengerusi TH dan seorang bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dibebaskan daripada tahanan reman SPRM hari ini selepas ditahan selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan isu-isu yang melibatkan TH.
Bernama melaporkan kedua-duanya dibebaskan pagi ini selepas direman sejak 27 Ogos. Pegawai penyiasat SPRM dilaporkan telah menyelesaikan proses merekodkan kenyataan mereka berkaitan dengan penemuan RCI berkenaan.
Skop RCI Tabung Haji merangkumi isu-isu yang melibatkan agensi itu dari 2014 hingga 2020, dengan merujuk kepada penemuan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC), Ernst & Young (EY) dan Roland Berger.
Ia tidak merangkumi pelan penstrukturan semula dan pemulihan yang sedang dilaksanakan pada ketika itu.
