Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Mesej cemas skuad hoki pulang dari Belgium

ULASAN SUKAN | Nasib berada di kedudukan nombor ke-16 mungkin tidak mudah luput dari minda kita untuk suatu tempoh lama. Ia bukan sekadar angka, tapi kedudukan tercorot.

Ia adalah status skuad hoki selepas berakhirnya kejohanan Hoki Piala Dunia 2026 baru-baru ini.

Lebih mendebarkan ialah, apakah kita sempat memulihkan keadaan apabila berdepan satu lagi ranjau besar Sukan Asia di Aichi-Nagoya, Jepun yang bermula pada 19 Sept sehingga 4 Okt ini.

Faktor keletihan, hilang keyakinan dan moral yang rendah pasti wujud pada setiap pemain. Tambahan pula ada sekelompok pemain senior yang mungkin terasa kelecuhan kerana beraksi tanpa henti sepanjang tahun.

Apakah pilihan yang ada pada mereka? Maksudnya, barisan ini saja yang kita ada sekarang untuk menyahut segala cabaran.

Kesipuan dalam Piala Dunia lalu bukan lagi satu pengajaran untuk kita insaf. Pencapaian buruk itu sebenarnya satu panggilan atau isyarat SOS untuk menceritakan bahawa skuad hoki kita berada dalam situasi kritikal.

Jika sesuatu tidak dilakukan segera bersama komitmen penuh semua pihak, tidak ada kata lain kecuali skuad The Speedy Tigers itu akan kekal mengiau di pentas antarabangsa selepas ini.

Sebenarnya kita sudah pun nampak kerdil. Kita kalah 2-3 (menerusi penentuan penalti) kepada Wales dalam perlawanan penentuan tempat ke-15.

Harapan apa nak disandarkan

Lawan kita itu sebenarnya baru tampil di Piala Dunia buat kali kedua, manakala pemain mereka tidak bermain hoki secara sepenuh masa. Semuanya berbeza berbanding skuad negara.

Sudah tentu ia adalah amaran keras akan kelemahan sebenar pasukan kita.

Semua itu bukanlah apa yang kita inginkan. Skuad negara kaya dengan tradisi hoki tapi ke manakah hilangnya aura permainan kita?

Keadaan itu juga bererti suatu hari nanti kita mungkin tidak lagi layak ke Piala Dunia atau Sukan Olimpik. Maka status kita sebagai hockey playing nation yang disegani lawan akan luput akhirnya.

Sudah tentu sekarang bukan masa untuk mencari kesilapan atau pun menuding jari. Amalan itu terbukti hanya membazirkan masa dan sumber. Sebaliknya, apa yang perlu ialah mencari ramuan membentuk semula sebuah pasukan ‘baru’ dan ia diletakkan sebagai keutamaan.

Apakah harapan yang mampu kita sandarkan kepada skuad The Speedy Tigers selepas ini?

Mahu atau tidak, barisan pimpinan Brendon Carolan perlu bangkit untuk memadamkan episod duka dari Belgium dan Belanda – dua negara yang menjadi tuan rumah bersama bagi kejohanan edisi ke-16 kali ini.

Apakah sifat kebangkitan akan wujud apabila kapten pasukan, Marhan Jalil, dan rakan sepasukan menempuh ‘gelora ganas’ dalam Sukan Asia nanti?

Di Aichi-Nagoya ranjaunya juga tidak mudah. Malaysia tetap perlu mencari jalan untuk menumbangkan India dan Pakistan yang dikatakan berpotensi besar dapat layak ke final.

Jika sebelum ini sasaran diletakkan oleh pengurusan pasukan di Piala Dunia ialah untuk layak ke suku akhir, kini misi mara ke final pula diletakkan di Sukan Asia.

Mengharap tuah saja

Hajat itu memang besar dan boleh saja dihormati. Cuma kita tidak tahu bagaimanakah keputusan itu dibuat.

Dalam Piala Dunia, umpamanya, juara bertahan – Jerman – dan naib juara (Sepanyol) bersama Argentina, Belanda, Australia, Belgium, India dan England adalah pasukan yang mara ke suku akhir.

Semua itu bukan calang-calang pasukan. Hampir enam pasukan ada kemampuan untuk layak ke final dan menjadi juara daripada kelompok tersebut.

Jika anda menonton perlawanan membabitkan pasukan berkenaan, adalah jelas mereka berada satu atau dua kelas lebih tinggi berbanding skuad kita dalam semua aspek.

Adakah pengurusan pasukan Malaysia sudah melihat hakikat tersebut? Apakah jurang di antara kita dengan lapan pasukan gergasi berkenaan tidak cukup besar andai dinilai mengikut pencapaian semasa?

Atau, apakah mereka percaya dalam pentas elit seperti itu apa saja boleh berlaku kerana setiap pasukan hadir dengan cita-cita besar?

Tiada siapa yang harus menolak hajat seperti itu. Jika ia wujud bererti perwatakan pada pemain dan pegawai skuad negara kita amat positif.

Cuma mereka gagal untuk menterjemahkan elemen positif berkenaan di gelanggang Piala Dunia kali ini.

Daripada enam perlawanan, pencapaian terbaik skuad negara ialah seri sebanyak tiga kali manakala selebihnya kalah. Dalam kata lain, kita gagal memahat sebarang kemenangan.

Data lain pula menunjukkan kita menjaringkan 16 gol berbanding dibolosi 25 kali.

Itu bukanlah statistik yang kita mahukan.

Kali terakhir kita layak ke kelompok lapan terakhir Piala Dunia ialah pada edisi 2002 di Kuala Lumpur, manakala pencapaian terbaik pernah dirakamkan ialah layak ke separuh akhir pada 1975 – juga di bumi sendiri.

Potensi pingat dari Aichi-Nagoya

Dari kaca mata pemerhati dan pengkritik, sasaran awal skuad mahu menempatkan The Speedy Tigers dalam lapan terbaik memang nampak kurang realistik. Malah, ada yang terkejut pun.

Mereka juga masih terkejut dengan sasaran kita untuk mara ke final Sukan Asia.

Apa pun, sasaran tetap sasaran. Komuniti hoki tanah air pun tidak dapat memberikan jawapan jelas sama ada pasukan diketuai Marhan Jalil akan kembali segar selepas misi Piala Dunia atau sebaliknya.

Cuma, saingan dalam Sukan Asia dilihat agak seimbang. Mana-mana pasukan yang cukup bersedia dan cergas sepenuhnya boleh menumbangkan lawan lain pada hari perlawanan.

Sebagai rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Pakistan, China, Oman, Uzbekistan dan Thailand.

Pasukan pilihan – India – diletakkan dalam Kumpulan A bersama Jepun, Korea Selatan, Bangladesh, Sri Lanka dan Indonesia.

Pemenang pingat emas Sukan Asia nanti akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles.

Biar penulis berterus terang saja: kejayaan meraih pingat gangsa pun sudah boleh dianggap pencapaian terbaik dalam situasi tertekan sekarang.


V ASHOK ialah bekas pengarang sukan dan pengarang berita luar negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS