Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KBS akui ada masalah komunikasi dalam isu Azizulhasni
Diterbitkan:  Sep 2, 2026 9:59 AM
Dikemaskini: 1:59 AM

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengakui terdapat kelompangan dan masalah komunikasi yang mencetuskan polemik mengenai perancangan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menuju Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari berkata pihaknya mengambil tanggungjawab terhadap perkara itu, dan mahu memastikan masalah komunikasi antara atlet, Majlis Sukan Negara (MSN), persatuan sukan kebangsaan dan pihak berkaitan tidak berulang.

“Jika ada ‘communication breakdown’ atau kesilapan dari segi komunikasi, kita mengambil tanggungjawab tersebut dan ingin memastikan perkara sebegini tidak berulang.

“Komunikasi yang baik daripada MSN, atlet dan persatuan adalah sangat penting supaya tidak berlaku sebarang polemik atau kekeliruan dalam masyarakat,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat MSN berkenaan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Proses Kelayakan LA28 di Menara KBS, Putrajaya semalam.

Mohammed Taufiq berkata keputusan untuk memberikan laluan kepada Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 sebenarnya telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos, selepas beliau mengarahkan badan sukan itu menilai perkara berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemungkinan terdapat kelompangan tempoh dan salah faham dari segi komunikasi sebelum keputusan berkenaan disampaikan sepenuhnya kepada pelumba berusia 38 tahun itu.

Beliau berkata surat tawaran bagi membolehkan Azizulhasni meneruskan misi ke LA28 akhirnya telah dikeluarkan dua hari lepas, manakala KBS menerima maklum balas daripada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo 2020 itu semalam.

Mohammed Taufiq berkata bekas juara dunia itu telah bersetuju menerima tawaran berkenaan dan meneruskan khidmat bersama skuad negara dalam usaha memburu kejayaan di LA28.

“Perkara ini telah selesai. Sekarang masalahnya … apakah langkah seterusnya yang perlu kita ambil? Itu sekarang kita perlu optimis dan berfikiran ke hadapan,” katanya.

Beliau berkata perbincangan seterusnya akan melibatkan Azizulhasni, persatuan, MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) bagi memperincikan bentuk bantuan serta sokongan diperlukan dalam persiapan menuju LA28.

Dalam pada itu, Mohammed Taufiq turut merancang mengadakan siri pertemuan dan sesi town hall bersama atlet bagi memastikan sebarang isu dapat dikenal pasti dan diselesaikan dengan lebih pantas.

Jumaat lepas, Azizulhasni memuat naik penjelasan sembilan muka surat di Instagram mengenai proses kelayakan ke LA28 dan masa depan kariernya, selain turut meminta jawapan jelas daripada KBS serta MSN sama ada khidmatnya masih diperlukan bagi misi LA28.

Sehari kemudian, MSN menafikan dakwaan bahawa badan itu tidak menghiraukan perancangan atau tidak menghargai jasa Azizulhasni, selain menegaskan ia sentiasa menyokong The Pocket Rocketman, termasuk persiapannya menuju LA28.

Azizulhasni kemudian memuat naik video memaklumkan sudah menerima surat tawaran bagi membolehkan beliau meneruskan misi ke LA28, kelmarin.

Sementara itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kekal yakin jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang, mempunyai kemampuan untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Menteri Belia dan Sukan berkata keyakinan itu, selari dengan matlamat program Road to Gold (RTG) yang diwujudkan bagi membantu atlet berpotensi tinggi negara, merealisasikan impian meraih emas Olimpik pertama Malaysia.

Taufiq berkata keyakinan terhadap pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu, turut bersandarkan data dan fakta.

“Kita yakin dengan semua atlet kita. Apabila kita menetapkan sasaran, itu ada keyakinan. Tak guna kita ada program Road to Gold, tetapi kita tidak yakin.

“Yang penting, pertama yakin dulu. Kedua, keyakinan itu mesti datang dengan pelaksanaan dan aksi yang menyeluruh,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan proses kelayakan LA28 di Menara KBS di Putrajaya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada yakin Mohd Azizulhasni mampu menghadiahkan pingat emas buat negara pada LA28.

Mohammed Taufiq bagaimanapun menegaskan keyakinan dan harapan KBS, tidak hanya diletakkan kepada Mohd Azizulhasni, sebaliknya kepada semua atlet yang berada dalam program berkenaan.

Terdahulu, Mohammed Taufiq mengesahkan Mohd Azizulhasni yang mencipta sensasi memenangi emas keirin pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 baru-baru ini, bersetuju menerima tawaran untuk meneruskan misi bersama skuad negara menuju LA28.

Beliau berkata keputusan memberi laluan kepada bekas juara dunia berusia 38 tahun itu meneruskan perjuangan, telah dipersetujui dalam mesyuarat Lembaga MSN pada 13 Ogos lepas.

Mohammed Taufiq berkata surat tawaran dikeluarkan tiga hari lepas, sebelum KBS menerima maklum balas daripada Mohd Azizulhasni kelmarin yang menyatakan persetujuannya untuk terus berkhidmat kepada negara.

“The Pocket Rocketman” yang memenangi gangsa keirin pada Olimpik Rio 2016 sebelum meraih perak acara sama di Tokyo 2020, masih memburu emas Olimpik pertama dalam kariernya.

Pada edisi Paris 2024, cabarannya dalam keirin berakhir seawal saringan pertama selepas dibatalkan penyertaan kerana memintas derny sebelum ia meninggalkan trek pada aksi di Velodrom Nasional Saint-Quentin-en-Yvelines.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS