Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Urusan tak dapat dielak’: Zahid tak hadir muktamar PAS

Pengerusi BN merangkap Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak hadir pada Muktamar PAS Pusat ke-72 di Kota Bharu hari ini.

Menurut Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, kehadiran Zahid yang dinanti-nantikan pada acara itu terpaksa dibatalkan “pada saat akhir kerana urusan yang tidak dapat dielakkan”.

Dalam ucapannya ketika merasmikan majlis hari ini, Ahli Parlimen Kota Bharu itu turut berkata Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki hadir sebagai wakil Zahid.

Takiyuddin turut mengalu-alukan kehadiran Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, dengan parti itu buat julung kalinya menghadiri muktamar tahunan PAS sebagai parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Wakil PN lain yang hadir termasuk ketua pembangkang merangkap Presiden Wawasan Negara Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau dan Setiausaha Agung MIPP N Sathes Kumar.

PAS membuat jemputan khas kepada Umno untuk menghadiri muktamar parti itu tahun ini.

Kali terakhir pemimpin Umno dijemput ke acara berkenaan adalah pada 2019, dengan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan mengetuai rombongan ke muktamar yang berlangsung di Pahang ketika itu.

Semalam, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menghadiri Muktamar Pemuda PAS manakala Ketua Ulama Umno Dusuki Ahmad hadir pada Muktamar Dewan Ulama PAS.

Jangkaan awal mengenai kehadiran Zahid pada acara hari ini timbul ketika PAS giat mendorong penyatuan ummah yang lebih kukuh menerusi kerjasama dengan Umno.

PAS menggambarkan kerjasama berkenaan sebagai usaha menghimpunkan kekuatan politik Melayu-Islam secara lebih meluas menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu, PAS mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi BN, termasuk calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC.

Kerjasama Umno-PAS, BN-PN membuahkan kemenangan besar pada PRN Negeri Sembilan.

Susulan kemenangan besar BN pada PRN Johor pada 11 Julai, gabungan itu kemudian membentuk kerjasama pilihan raya dengan PAS atas nama penyatuan ummah bagi menghadapi pilihan raya Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, masih belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai kemungkinan kerjasama kedua-duanya bagi menghadapi pilihan raya Melaka akan datang.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS