Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng menggesa tindakan diambil terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berhubung perbelanjaan yang melebihi peruntukan diluluskan, sambil memberi amaran amalan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara.
Penasihat kebangsaan DAP itu berkata tindakan perlu diambil bagi menghalang kementerian lain daripada melakukan kesalahan sama yang boleh menjejaskan perbendaharaan dan kedudukan kewangan negara.
“Perbuatan sedemikan oleh Ahmad Zahid Hamidi adalah tidak bertanggungjawab kerana melanggari prosedur dan tatacara kewangan sedia ada, yang boleh mengundang penguatkuasaan undang-undang berkaitan.
“Apa yang dilakukan oleh Ahmad Zahid Hamidi secara langsung menggugat keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi.

“Tolong bayangkan betapa serius dan mudaratnya keadaan kewangan negara sekiranya semua Kementerian kerajaan bertindak sedemikan rupa dengan membelanjakan dengan sewenang-wenangnya tanpa mengambilkira sama ada negara mampu atau tidak,” katanya pada satu kenyataan.
Lim turut mempersoalkan kontraktor yang mendapat manfaat daripada kontrak diberikan KKDW sehingga menyebabkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan.
“Adakah kontraktor-kontraktor tersebut dipilih mengikut peraturan atau kaedah pemberian kontrak dijalankan secara telus, terbuka dan akauntable,” soalnya.
Lim berkata Zahid, selaku timbalan perdana menteri sepatutnya menunjukkan teladan dengan mengamalkan sikap berjimat cermat dan berhemat dalam menguruskan kewangan, bukannya bertindak sebaliknya.

“Jelas sekali Ahmad Zahid Hamidi telah membenarkan perbelanjaan melebihi peruntukan diluluskan tanpa usul periksa dan patut memberikan penjelasan penuh kepada rakyat Malaysia,” tambahnya.
Kementerian Kewangan mendedahkan perbelanjaan KKDW pada 2023 berjumlah RM1.8 bilion berbanding peruntukan RM1.1 bilion yang diluluskan. Pada 2024, kementerian itu membelanjakan RM2 bilion berbanding peruntukan RM1.3 bilion, manakala perbelanjaan pada 2025 mencecah RM2.3 bilion berbanding peruntukan RM1.6 bilion.
Secara keseluruhan, KKDW berbelanja RM2.1 bilion melebihi peruntukan diluluskan sepanjang tempoh tiga tahun dari 2023 hingga 2025, ketika kementerian itu diterajui Zahid.
Lim berkata isu sama pernah timbul sebelum ini berhubung surat sokongan yang dikeluarkan kementerian selain Kementerian Kewangan. Surat sedemikian sejak itu dilarang kerana boleh ditafsirkan sebagai jaminan kerajaan yang terselindung.

“Dalam perundangan kewangan negara hanya Kementerian Kewangan dibenarkan mengeluarkan surat sokongan atau jaminan.
“Tindakan pernah diambil apabila surat sokongan dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa restu Kementerian Kewangan,” katanya.
Semalam, Malaysiakini melaporkan pertikaian mengenai pembiayaan itu menjadi punca terbaru pergeseran antara Pakatan Harapan (PH) dan BN.
Pertikaian itu tercetus selepas Zahid menggesa Kementerian Kewangan mempercepat penyaluran dana dengan berkata kontraktor yang sudah menyiapkan projek masih menunggu bayaran, malah ada yang terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi BN, berkata kementeriannya dipersalahkan atas kelewatan itu walaupun tidak menerima dana diperlukan untuk membuat pembayaran.
Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican menyangkal dakwaan berkenaan dengan berkata peruntukan bagi jalan luar bandar sudah disalurkan sepenuhnya dan tidak dikenakan sebarang sekatan.
Johan turut berkata kementerian diterajui Zahid mempunyai rekod berbelanja melebihi bajet, sehingga Kementerian Kewangan terpaksa mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung perbelanjaan tambahan itu.
