mk-logo
Berita
'Razlan ubah kayu ukur isu bajet kementerian Zahid'
Diterbitkan:  Sep 5, 2026 6:56 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Pertikaian terbuka terus berlangsung antara pemimpin DAP dan kem Ahmad Zahid Hamidi berhubung perbelanjaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahli Parlimen DAP Chong Zhemin (gambar judul) mendakwa setiausaha politik Zahid, Razlan Rafii, mengubah asas perbandingan dalam mempertahankan perbelanjaan program jalan luar bandar kementerian itu.

Dalam kenyataan hari ini, Chong berkata pembelaan Razlan Rafii terhadap Zahid mengesahkan angka yang dipetik veteran DAP Lim Guan Eng dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.

Chong menegaskan Johan membandingkan peruntukan tahunan program itu dengan perbelanjaan sebenar manakala Razlan membuat perbandingan berdasarkan peruntukan yang disemak kemudian.

Razlan Rafii pegawai kepada Zahid Hamidi.

“Kedua-duanya mungkin betul dari segi fakta, tetapi peruntukan yang disemak itu tidak menjelaskan bagaimana, bila dan dari mana dana tambahan tersebut diperoleh,” katanya.

Chong turut menggesa Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan ketua audit negara menyiasat isu penyaluran dana Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) jika Zahid gagal memberikan penjelasan penuh berhubung perkara itu.

Semalam, Razlan berkata Lim yang juga bekas menteri kewangan itu salah memahami peruntukan dan perbelanjaan kerajaan.

Menerusi hantaran di Facebook, dia berkata angka kira-kira RM1 bilion yang dipetik Lim merujuk peruntukan tahunan program jalan luar bandar, bukannya jumlah nilai projek berbilang tahun yang diluluskan.

Dia turut berkata selepas pelarasan belanjawan dalaman, perbelanjaan sebenar program itu pada 2023, 2024 dan 2025 kekal dalam lingkungan peruntukan yang disemak.

Mengenai pelarasan itu, Razlan berkata ia dibuat melalui pindahan peruntukan dalaman yang diluluskan atau NOC bagi memenuhi komitmen sedia ada dan tidak melibatkan perbelanjaan berlebihan tanpa kebenaran.

Peruntukan disemak

Mengulas lanjut, Chong berkata angka yang dikemukakan Razlan menunjukkan peruntukan asal kira-kira RM1.1 bilion bagi program jalan luar bandar pada 2023 disemak kepada RM1.85 bilion, berbanding perbelanjaan sebenar kira-kira RM1.84 bilion.

Pada 2024, peruntukan asal kira-kira RM1.3 bilion disemak kepada RM2.02 bilion manakala perbelanjaan sebenar berjumlah kira-kira RM2 bilion.

TPM Ahmad Zahid merangkap menteri KKDW.

Bagi 2025, peruntukan asal kira-kira RM1.6 bilion disemak kepada RM2.27 bilion, dengan perbelanjaan sebenar turut mencecah kira-kira RM2.27 bilion.

Chong berkata angka itu menunjukkan peningkatan terkumpul kira-kira RM2.14 bilion dalam peruntukan program berkenaan sepanjang tiga tahun tersebut.

Walaupun perbelanjaan tidak melebihi peruntukan akhir yang disemak, Chong berkata ia masih tidak menjawab persoalan utama mengenai cara dana tambahan itu diperoleh.

“Razlan mesti menjelaskan dari mana datangnya tambahan RM2.14 bilion itu, bila setiap pelarasan diluluskan, pihak berkuasa mana yang meluluskannya dan sama ada kelulusan diperoleh sebelum atau selepas KKDW membuat komitmen berkaitan,” katanya.

Chong turut berkata semakannya tidak menemui sebarang peruntukan tambahan secara langsung di bawah kod perakaunan kementerian itu dari 2023 hingga 2025, manakala setakat 5 Sept, Parlimen masih belum meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan bagi 2026.

‘Tidak semestinya langgar undang-undang’

Bagaimanapun, dia mengakui perkara itu tidak secara automatik bermakna pelarasan berkenaan menyalahi undang-undang.

“Namun, mekanisme ini mesti disokong kelulusan dan rekod yang sewajarnya,” tegasnya.

Chong berkata hakikat bahawa projek pembangunan boleh berlangsung selama beberapa tahun tidak menghapuskan keperluan menyediakan belanjawan tahunan dengan sewajarnya.

Dia turut merujuk pendedahan Kementerian Kewangan bahawa kementerian itu meluluskan tambahan RM300 juta bagi 2026 dan sedang mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain untuk menampung lebihan komitmen KKDW.

“Ini bukan bukti bahawa tiada masalah. Ia menunjukkan Kementerian Kewangan kini perlu mencari dana tambahan bagi menangani kesan daripada komitmen KKDW,” katanya.

Dia turut berkata ketelusan diperlukan kerana perkara itu melibatkan wang awam, sambil menegaskan ia bukan tuduhan terhadap kontraktor.

“Jika Razlan percaya angka Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu salah, dia perlu mendapatkan pembetulan rasmi secara bertulis daripada Kementerian Kewangan.

“Sehingga Kementerian Kewangan menarik balik atau membetulkan kenyataannya, Razlan tidak boleh mengetepikan angka rasmi Perbendaharaan semata-mata dengan menyerang kelayakan seorang bekas menteri kewangan (Lim),” katanya, sambil menambah serangan peribadi dan anugerah prestasi kementerian tidak dapat menggantikan rekod kewangan.

Zahid kecewa, Guan Eng kritik

Pada Isnin, Zahid secara terbuka meluahkan kekecewaan berhubung penyaluran dana yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Timbalan perdana menteri itu menggesa Kementerian Kewangan mempercepat penyaluran dana dengan berkata kontraktor yang sudah menyiapkan projek masih menunggu bayaran, malah ada yang terpaksa gulung tikar akibat masalah aliran tunai.

Bagaimanapun, Johan menyangkal dakwaan itu dengan berkata peruntukan bagi jalan luar bandar sudah disalurkan sepenuhnya dan tidak tertakluk kepada sebarang sekatan.

Johan turut berkata kementerian Zahid mempunyai sejarah berbelanja melebihi peruntukan sehingga Kementerian Kewangan terpaksa mengenal pasti penjimatan daripada kementerian lain bagi menampung perbelanjaan tambahan.

Perkara itu mengundang serangan Lim, yang menggesa tindakan diambil terhadap Zahid kerana berbelanja berlebihan serta memberi amaran amalan sedemikian boleh menjejaskan kestabilan kewangan negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS