Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Abim gesa Ilyas tarik balik ungkapan 'akan terus tunggang agama'
Diterbitkan:  Sep 6, 2026 11:24 AM
Dikemaskini: 3:27 AM

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menegur kenyataan Ketua Pemuda PAS Kedah, Ilyas Ahmad bahawa parti itu akan terus “menunggang agama” seperti yang disebubt dalam Muktamar PAS baru-baru ini.

Timbalan Presiden Abim, Muhamad Saifuddin Abdul Latiff, menggesa Ilyas menarik balik ungkapan tersebut serta memohon maaf atas bahasa kasar yang digunakan.

"Sekalipun dimaksudkan sebagai sindiran terhadap pengkritik, ungkapan tersebut mengaburkan perbezaan antara perjuangan berpandukan Islam dengan perbuatan memperalatkan agama.

"Sindiran tidak menggugurkan tanggungjawab pemimpin untuk menjaga adab dan menjawab kritikan dengan hujah," ujarnya dalam satu kenyataan.

Ilyas ketika berucap dalam muktamar yang berlangsung pada 3 Sept lalu menggambarkan PAS tidak terkesan dengan label "penunggang agama" yang diberikan musuh politiknya.

Merujuk kepada DAP dan Amanah yang menurutnya sering meleparkan tuduhan itu, Ilyas berkata PH gagal membela kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

"DAP kata kita Taliban, tunggang agama. Saya ingin bertanya kepada DAP dan Amanah, kalau kita orang Islam tak tunggang agama, kita nak tunggang apa? Petai? Nak tunggang apa? Kepala bapak?

"PAS akan terus menunggang agama dalam perjuangan kita menegakkan agama Islam di Malaysia ini,"ujarnya.

Mengulas lanjut Muhamad Saifuddin menegaskan bahawa Islam perlu dijunjung dan dijadikan panduan, bukannya digunakan untuk kepentingan politik.

"Pemimpin yang membawa nama Islam perlu menunjukkan keselarasan antara seruan dengan akhlak yang ditampilkan. Bahasa kasar menjejaskan kewibawaan mesej yang dibawa dan memberikan teladan yang tidak baik kepada masyarakat, khususnya generasi muda.

"Abim mengajak seluruh pimpinan masyarakat, termasuk diri kami sendiri, memelihara kemuliaan agama melalui pertuturan dan tindakan. Kesediaan menerima teguran serta membetulkan kesilapan merupakan tanda pertanggungjawaban seorang pemimpin," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS