Rundingan awal berhubung calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata buat masa ini, segala perancangan dan perbincangan perlu difokuskan kepada persiapan menghadapi pilihan raya di negeri itu terlebih dahulu.
“Sebagaimana yang saya nyatakan, perundingan itu hanya dibuat selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO diminta mengulas tentang rundingan awal berhubung calon bagi pilihan raya negeri berkenaan.
Penggal DUN Melaka akan tamat pada Disember ini seterusnya memberikan laluan kepada PRN.
Mengulas isu calon Perdana Menteri bagi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) susulan kenyataan PAS baru-baru ini, beliau menyifatkan perbincangan berkaitan perkara itu sebagai terlalu awal.
“Terus terang, terlalu awal untuk meletakkan seseorang atau sesuatu susuk tubuh untuk memegang jawatan itu, pilihan raya mungkin masih jauh atau mungkin dekat kerana kita tidak tahu bila Parlimen dibubarkan. Saya fikir elok kita ketepikan soal itu dululah,” katanya.
Berhubung pembubaran Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU16, Ahmad Zahid berkata perkara itu merupakan bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri dan semua parti dalam Kerajaan Perpaduan akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat.
Jumaat lepas, Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata parti itu mempunyai calon Perdana Menteri sendiri bagi menghadapi PRU16, namun belum tiba masanya untuk mendedahkan identiti individu berkenaan.
- Bernama
