kemaskini 11:48pm BN menang tanpa bertanding di tujuh kerusi parlimen, empat di Sarawak, dua di Sabah dan satu Johor.
Sementara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi di Sabah dan Selangor.
PAS pula menang di DUN Kijang, Kelantan menjadikan semuanya 10 kerusi dimenangi tanpa berbanding 29 kerusi pada pilihanraya umum lepas.
Pada 2004, 17 calon menang tanpa bertanding bagi kerusi parlimen dan 12 bagi kerusi DUN, termasuk satu kerusi DUN dimenangi PAS.
Berikut calon-calon BN yang menang di peringkat parlimen:
Datuk Azalina Othman Said menang tanpa bertanding kali ini, seperti dalam pilihanraya 2004, bagi kerusi parlimen Pengerang.
Datuk Abdul Ghapur Salleh di kerusi parlimen Kalabakan. Tan Sri Joseph Kurup di kerusi parlimen Pensiangan, Sabah.
Empat kerusi di menangi di Sarawak: Tanjung Manis, Selangau, Kapit dan Kanowit. Anak bekas ketua menteri Sarawak, Norah Tun Abd Rahman, calon BN di Tanjung Manis, Joseph Entulu Belaun (Selangau), Alexander Nanti Linggi (Kapit) dan Ago Dagang (Kanowit).
Di peringkat kerusi DUN:
Kerusi Sementa, yang disandang exco negeri Datuk Abd Rahman Palil, kembali kepada BN setelah calon PKR yang diumum untuk bertanding, Suzaimi Salam, tidak muncul
Datuk Ramlee Marbahan (BN) di DUN Bugaya, Sabah.
Calon wanita PAS Wan Ubaidah Omar menang tanpa bertanding di kerusi DUN Kijang apabila calon BN Mustopha Ahmed dibatalkan setelah didapati muflis dan secara automatik gugur kelayakan sebagai calon pilihan raya.
Kertas calon PKR Saiful Izham Ramli bagi DUN Bukit Selambau, Kedah ditolak akibat tidak menyerahkan penyata perbelanjaan dalam pilihanraya umum 2004 kepada SPR. Bagaimanapun BN tidak menang tanpa bertanding kerana ada seorang calon bebas.
Selain Saiful Izham, calon bebas Sumardi Ahmad di parlimen Pagoh mengalami nasib yang sama.
Sebanyak 222 pusat penamaan di seluruh negara dibuka pagi tadi untuk proses pencalonan bagi merebut 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi negeri pada pilihanraya umum 8 Mac.
Semua negeri, kecuali Sarawak, menyaksikan persaingan merebut kerusi-kerusi DUN.
Sebanyak 479 kertas pencalonan bagi kerusi parlimen dan 1,109 kertas pencalonan bagi kerusi DUN diterima SPR kali ini.
Menurut kenyataan SPR, BN bertanding di semua 222 kerusi parlimen, diikuti PKR (97), PAS (66), DAP (47) Bersekutu (dua), Pasok (tiga), SNAP (empat), PRM (satu) dan calon bebas (37).
Di peringkat DUN, BN meletakkan 504 calon daripada 505 kerusi (satu lagi ditolak di DUN Kijang), diikuti PAS (235), PKR (174), DAP (101), Bersekutu (15), Pasok (sembilan), Setia (dua), PRM (tiga) dan calon bebas (66).
Seseorang calon diperlukan membayar deposit RM10,000 untuk bertanding bagi kerusi parlimen dan RM5,000 untuk kerusi DUN semasa mengemukakan borang pencalonan mereka.
Sejumlah 10,922,139 pengundi berdaftar, termasuk 221,085 pengundi pos, dan kira-kira 600,000 pengundi baru dalam pilihan raya kali ini berbanding 10.3 juta pengundi pada pilihan raya umum 2004.
Daripada jumlah itu, 5,488,542 pengundi wanita dan 5,493,597 atau 49.93 peratus adalah lelaki.
Menurut SPR lagi, pemilih berdaftar sehingga 31 Disember lepas sahaja tersenarai dalam daftar pemilih dan layak membuang undi pada 8 Mac ini.
Seseorang yang mendaftar mulai 1 Jan lalu, namanya tidak dimasukkan dalam daftar pemilih pilihanraya umum ke-12.
Sebelum Parlimen dan DUN dibubarkan pada 13 Feb, BN menguasai 199 kerusi, DAP (12 kerusi), PAS (tujuh kerusi) dan bebas (satu kerusi) dengan jumlah 219 kerusi.
Tiga tambahan kerusi parlimen kali ini -- Igan, Sibuti dan Limbang (semuanya di Sarawak) -- berikutan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya.
SPR menetapkan 13 hari kempen, bermula hari ini sebaik sahaja selesai proses penamaan calon sehinggalah 12 tengah malam, 7 Mac.
