mk-logo
Berita
'Formula Putrajaya' kacau Umno Perlis
Diterbitkan:  Feb 25, 2008 5:27 AM
Dikemaskini: 7:57 AM

kemaskini 3:45pm Umno Perlis terus bergolak dan keadaan ini diramalkan mencerahkan harapan PAS untuk memenangi sekurang-kurangnya lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihanraya umum 8 Mac ini.

PAS kini mempunyai satu kerusi DUN di Sanglang.

Semuanya gara-gara pertembungan dua tokoh utama Umno Perlis - Menteri Besar Datuk Seri Shahidan Kassim dengan setiausaha agung Umno Datuk Radzi Shah Ahmad - masih belum selesai berhubung pemilihan calon Umno untuk pilihanraya kali ini.

Perlis mempunyai tiga kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN.

Malaysiakini difahamkan, melalui rundingan yang penuh ketegangan berhubung senarai tersebut, penyelesaian akhir dicapai melalui apa yang dikenali sebagai 'formula Putrajaya'.

Difahamkan, melalui formula tersebut, pengagihan calon-calon di Perlis dipersetujui berasaskan nisbah lima penyokong Shahidan dan 10 orang Radzi bagi peringkat DUN.

Manakala Shahidan pula kekal bertanding di kerusi lamanya di Tambun Tulang. Radzi dan Datuk Azmi Khalid pula kekal di kerusi parlimen masing-masing di Kangar dan Padang Besar.

Walaupun persetujuan telah dicapai tetapi ia tetap mencetuskan rasa tidak puas hati dan bantahan di kalangan calon-calon awal yang terpaksa digugurkan.

Calon wanita

Susulan ketegangan yang berlarutan itu, ramai penyokong Shahidan termasuk beberapa anggota exco kerajaan negeri yang terpaksa digugurkan dan digantikan dengan orang Radzi.

Mereka yang digugurkan termasuk Azihani Datuk Ali (Sena), Datuk Bakar Ismail (Pauh), Bakar Saad (Kuala Perlis) dan Azam Rashid (Kayang).

Sementara Zahari Bakar (Simpang Empat) dan Khairy Hassan (Mata Ayer), yang merupakan bekas setiausaha politik Azmi, dikekalkan.

Adik Shahidan - Senator Datuk Ismail Kassim - dalam senarai awal calon memang dirancang bertanding di kerusi parlimen Arau dan Azmi bertanding kerusi DUN.

"Bila pengumuman senarai calon dibuat, tidak terdapat wakil Wanita. Jadi, Wanita protes minta kerusi. Apabila diberi kerusi parlimen, maka seorang calon wanita yang berpengalaman diperlukan dan oleh itu, Datuk Mastika Junaidah Husin dipilih," kata sumber-sumber yang rapat dengan Umno Perlis.

Mastika merupakan ahli parlimen Arau sebelum dipindahkan bertanding kerusi Sanglang dalam pilihanraya umum lalu, tetapi tewas kepada calon PAS, Hashim Jasin dengan majoriti 45 undi sahaja.

Ganti calon

Penyandang kerusi parlimen tersebut Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail kali ini dipindahkan bertanding di DUN Pauh.

Berikutan itu, Shahidan membuat pengumuman terbaru bahawa nama adiknya itu dibatalkan dan digantikan dengan Mastika.

Namun begitu, Malaysiakini difahamkan, pada hari pencalonan, Ismail dan Mastika masing-masing hadir di pusat penamaan calon, tetapi borang calon BN lewat diserahkan kepada pegawai pengurus pilihanraya.

Bagaimanapun, akhirnya Ismail yang menyerahkan borangnya untuk bertanding di Arau, bahagian yang diketuai abangnya Shahidan. Ismail sendiri sebagai timbalan ketua bahagian.

"Malah, sebelum itu, calon PAS Datuk Dr Haron Din sendiri pun berkata, beliau tidak tahu dengan siapa beliau akan lawan," kata sumber-sumber itu lagi.

Menurut mereka, ketegangan antara penyokong Shahidan dan Radzi amat terasa sekali.

Terpaksa digugurkan

"Sebelum itu, apabila tersebar berita bahawa nama Shahidan digugurkan daripada senarai calon, ramai penyokong beliau, khususnya di bahagian Arau, mahu meletak jawatan.

"Malah, bendera-bendera parti dan markas ditutup sebagai tanda bantahan," kata sumber-sumber tersebut.

Menurut sumber-sumber, banyak bendera BN diturunkan pada malam tersebut (Khamis dan Jumaat), malah polis juga mengambil langkah berjaga-jaga mengawal dan mengadakan sekatan jalanraya di kawasan istana (dalam kawasan Arau).

"Bagaimanapun, mereka menarik balik keputusan tersebut apabila diberitahu bahawa Shahidan dikekalkan di DUN Tambun Tulang, manakala Ismail bertanding di Parlimen Arau.

"Namun begitu, sehingga hari ini, tidak kelihatan keghairahan di kalangan ahli Umno, khususnya di Arau untuk menghadapi pilihanraya umum seperti pada pilihanraya umum sebelumnya," kata sumber-sumber itu lagi.

Malah, tambah mereka, pada hari penamaan calon pun jelas ternampak ketegangan antara penyokong-penyokong Shahidan dan Radzi.

Harapan PAS cerah

"Apabila pengumuman dibuat mengenai calon penyokong Shahidan bertanding, terdengar suara-suara sinis di sebelah pihak yang satu lagi (penyokong Radzi).

"Begitu juga sebaliknya, bila diumumkan calon penyokong Radzi, terdengar bunyai suara yang menyindirnya sebagai 'calon kitaran semula'.

"Ini kerana mereka merupakan calon-calon yang tidak disenarai sebelum ini, tetapi dipilih semula bertanding 8 Mac depan," kata sumber-sumber.

Menurut mereka, apa yang membimbangkan ialah kemungkinan berlakunya undi protes di kalangan penyokong calon-calon dalam senarai awal, yang kemudiannya digugur ekoran 'formula Putrajaya'.

"Jika ini berlaku, calon PAS mempunyai harapan besar untuk menang di beberapa kawasan terbabit kali ini," katanya.

Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS