Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Manifesto DAP janji bayaran bonus
Diterbitkan:  Feb 25, 2008 6:10 PM
Dikemaskini: 3:15 PM

DAP hari ini melancarkan manifesto lapan perkara bagi pilihanraya umum 8 Mac ini yang bertema "Jom Ubah".

Ia menjanjikan, antara lain, bonus sehingga RM6,000 bagi setiap anggota isi rumah yang berpendapatan RM6,000 atau kurang setahun jika parti itu memenangi pilihanraya umum ini.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng yang melancarkan manifesto tersebut di ibu pejabat DAP Pulau Pinang berkata, RM35 bilion untuk membayar bonus tersebut diambil daripada keuntungan RM70 bilion syarikat minyak nasional Petronas.

Beliau juga berkata, DAP akan menyediakan bekalan air bersih yang selamat dan mampu dibayar oleh rakyat.

Ia akan memastikan 100,000 anggota polis ditugaskan meronda di jalan-jalan bagi mengurangkan jenayah dan menghapuskan ancaman dadah, katanya.

Lim berkata, partinya juga berjanji untuk menarik pelaburan yang berkualiti dengan pekerjaan yang menyediakan ganjaran yang tinggi.

Dalam bidang pendidikan pula, DAP berjanji akan mendapatkan khidmat ahli-ahli akademik terbaik di peringkat dunia untuk menerajui institusi-institusi pengajian tinggi tempatan dan menaikkan gaji bagi menarik dan mengekalkan para guru dan pensyarah yang terbaik.

Ditanya mengenai peluang DAP menang dalam pilihanraya umum kali ini, Lim berkata beliau tidak ragu bahawa BN akan menang tetapi berharap barisan pembangkang mampu menafikan kemenangan besar.

ADS