Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 9:45pm Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengeluarkan kenyataan bertentangan lagi - kenyataan pengerusinya Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman bercanggah dengan arahan yang dikeluarkan oleh setiausahanya Datuk Kamaruzaman Mohd Noor.

Selepas tamat penamaan calon semalam, PAS mendakwa petugas-petugas SPR di Terengganu enggan menerima bantahan mereka bahawa calon-calon Umno tidak mempunyai duti setem di akuan bersumpah masing-masing.

Petugas suruhanjaya itu menjelaskan, mereka telah menerima arahan kelmarin untuk mengabaikan peraturan awal, yang diperkenalkan Khamis lalu, oleh Kamaruzaman. Apabila didesak untuk menunjukkan arahan pemansuhan duti setem, mereka gagal membuktikannya.

Disoal tentang isu ini, Abdul Rashid mengakui bahawa beberapa calon mengalami masalah membayar duti setem kerana notis yang diberikan terlalu pendek, hanya tiga hari sebelum penamaan calon.

"Dari segi teknikalnya, kita masih lagi menerima pencalonan mereka. Yang penting, orang harus sedar, yang menentukan pencalonan bukan SPR yang menentukan siapa yang akan menang, ini rakyat. Jadi, kita masih pentingkan kepada kehendak rakyat.

"Biar rakyat yang menentukan siapa harus jadi wakil mereka dan bukan pihak lain. Atas prinsip ini, kita tentukan bahawa tidak ada sebarang penolakan melainkan orang itu tidak mengikut kelayakan," beliau dilaporkan berkata.

Dihubungi di ibu pejabat SPR di Putrajaya, Kamaruzaman mengeluaakan kenyataan berbeza.

"Setahu saya, peraturan itu kekal. Saya tidak mengeluarkan arahan pemansuhan kerana saya tidaak diberi kuasa (berbuat demikian). Menurut peraturan 7 Peraturan-peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, akuan bersumpah mesti ada pada borang pencalonan," jelasnya.

Apabila kenyataan Abdul Rashid disampaikan kepadanya, Kamaruzaman berkata, "itu (kenyataan) suruhanjaya. Saya hanya menjalankan arahan suruhanjaya. Mereka yang membuat peraturan.

Ditanya sama ada ketiadaan duti setem di akuan bersumpah calon boleh membatalkan kertas pencalonan, Kamaruzaman hanya diam.

"Tetapi jika suruhanjaya menerimanya, kami (urusetia) tidak boleh buat apa-apa."

Ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil oleh PAS jika begitulah masalahnya, beliau menjelaskan parti itu boleh menfailkan petisyen di mahkamah pilihanraya.

Sebelum itu naib presiden PAS Mohammad Sabu mengetuai sekumpulan 25 penyokong untuk menyerahkan bantahan kepada SPR di Putrajaya.

Pegawai perhubungan awam SPR Sabri Said bersedia menerima memorandum PAS tetapi enggan disampaikan oleh Mohamad. Beliau kemudian mengoyak memorandum itu di lobi ibu pejabat SPR.

Sementara itu, di sidang media hari ini, Kamaruzaman turut menyatakan kini calon-calon boleh menghantar agen tempat mengundi bagi memantau proses pembuangan undi pos.

Langkah baru itu, tambahnya, diambil bagi membolehkan agen-agen calon pembangkang melihat sendiri proses tersebut bagi memastikan ketelusan.

Beliau juga mengingatkan calon-calon tentang peraturan berhubung bahan-bahan kempen. Parti-parti yang tidak bertanding di satu-satu kawasan dilarang menaikkan poster atau bendera daripada parti-part lain.

Peraturan ini pertama kali diperkenalkan pada 2004 selepas pilihanraya terdahulu menyaksikan pakatan tidak rasmi parti-parti utama pembangkang saling meletakkan lambang parti rakan kongsinya.

Beliau menjelas, walaupun calon-calon Barisan Nasional dibenarkan menaikkan bendera Umno di kawasan yang ditandingi calon MCA, pakatan pembangkang tidak diizinkan berbuat perkara yang sama.

Perbezaan ini, jelasnya, kerana pakatan pembangkang tidak berdaftar dengan SPR sedangkan BN sebuah gabungan rasmi yang diiktiraf suruhanjaya itu.

ADS