BN menang tanpa bertanding di satu lagi kerusi parlimen apabila calon bebas Junak Jawit di Igan menarik diri hari ini.
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membenarkan calon memutuskan sama ada terus bertanding atau menarik diri dalam tempoh tiga hari selepas pencalonan.
Kemenangan Datuk Wahab Dolah daripada parti PBB itu menjadikan jumlah semuanya 10 kerusi, termasuk dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Empat kerusi parlimen di negeri itu juga dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon Ahad lepas. Dua kerusi DUN itu dimenangi di Sementa, Selangor dan Bugaya, Sabah.
Calon dan kerusi tersebut:
Datuk Azalina Othman Said - Pengerang, Johor (Umno)
Tan Sri Joseph Kurup – Pensiangan (PBRS)
Datuk Abdul Ghapur Salleh - Kalabakan, Sabah (Umno)
Norah Abdul Rahman - Tanjung Manis, Sarawak (PBB)
Datuk Wahab Dolah – Igan (PBB)
Aaron Ago Dagang - Kanowit, Sarawak (PRS)
Joseph Entulu Belaun - Selangau, Sarawak (PRS)
Alexander Nanta Linggi - Kapit, Sarawak (PBB)
Di peringkat DUN:
Selangor - Datuk Abdul Rahman Palil – Sementa (Umno)
Sabah - Datuk Ramlee Marbahan - Bugaya (Umno)
Sementara satu lagi kemenangan tanpa bertanding dikecapi calon PAS, Wan Ubaidah Omar di DUN Kijang, Kelantan.
SPR hari ini menyatakan calon-calon dibenarkan menarik diri sehingga jam 12 tengah malam esok.
Timbalan pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata calon yang menarik diri perlu menyerahkan sendiri borang kepada pegawai pengurus pilihanraya di kawasan masing-masing.
"Calon berkenaan mesti menandatangani Borang 6 (kerusi parlimen) atau 6a (kerusi DUN) dan juga ditandatangani oleh saksi. Borang itu hendaklah diserahkan sendiri oleh calon... wakil tidak boleh menghantar borang tersebut," katanya seperti laporan Bernama .
Mengulas bantahan PAS semalam di ibu pejabat SPR, Wan Ahmad berkata suruhanjaya itu bersedia menerima memorandum dan maklum balas daripada parti-parti politik serta pemilih berdaftar.
Naib presiden PAS Mohamad Sabu, bersama lebih 20 penyokong, mengoyakkan memorandum yang asalnya dirancang untuk SPR sebagai membantah isu pemansuhan duti setem di beberapa tempat, khususnya melibatkan calon lawan pemimpin-pemimpin tinggi parti itu.
Selepas proses pencalonan, presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan rasa kesal dengan sikap SPR yang membatalkan peraturan mengenakan duti setem di akuan bersumpah calon.
Menurutnya, perkara itu timbul selepas pihaknya membantah beberapa calon BN yang gagal mematikan setem di kertas masing-masing.
SPR semalam bagaimanapun menafikan suruhanjaya itu memansuhkan peraturan itu yang diperkenalkan sejak Khamis lepas.
