Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Masyarakat Cina di parlimen Kuala Terengganu tidak kisah sama ada Barisan Nasional (BN) atau PAS menjadi kerajaan negeri kerana tiada perbezaan ketara antara kedua-duanya.

Dalam empat kerusi DUN bawah kawasan parlimen ini, Bandar mempunyai jumlah yang paling tinggi, 37 peratus, di seluruh Terengganu. Kira-kira 7.2 peratus pula di Ladang, kawasan di pinggir pekan Kuala Terengganu.

Dua lagi DUN yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang agak besar - Cukai, sebanyak 15 peratus terletak dalam kawasan Kemaman dan Sura 9.4 peratus (Dungun).

DUN Bandar selalunya jatuh ke tangan BN kecuali pada 1999 apabila calon PAS Md. Azmi Lop Yusof menewaskan penyandang, dan juga exco negeri, Datuk Wong Foon Meng dengan majoriti 511 undi. Seorang calon bebas hanya memperolehi 187 undi.

Md Azmi tewas di tangan Toh Chin Yaw dengan 1,612 undi pada 2004. Kali ini penyandang di cabar calon PKR Dr Abdul Manaf Che Mat. Md Azmi juga calon PKR tetapi bertanding atas tiket PAS.

Di peringkat parlimen, penyandang BN Datuk Razali Ismail dicabar naib presiden PAS Mohamad Sabu dan bebas, nenek 89 tahun yang kini mendapat publisiti luar biasa, Maimun Yusuf.

Tinjauan Malaysiakini hari ini ke perkampungan tradisi masyarakat Cina terbesar di Terengganu itu mendapati mereka lebih condong kepada BN dan percaya parti itu mempunyai peluang lebih besar dalam pilihanraya kali ini.

Bagi mereka, BN membawa pembangunan yang lebih pesat kepada Kampung Cina, sebuah kampung di pinggir sungai Terengganu dan bersebelahan Kedai Payang, pasar utama yang menjadi tarikan pelancong.

Namun mereka mengakui sama ada PAS atau BN yang memerintah, kedua-duanya tidak pernah melarang jualan daging babi di kawasan tersebut.

Seorang penduduk kampung itu mendakwa, ada kira-kira 50,000 orang Cina yang tinggal di perkampungan tersebut sejak 200 tahun lalu.

terengganu chinese voters interview 280208 linda yoong Namun, sebahagian besar penduduk berkata, mereka tidak pernah membaca manifesto parti politik yang bertanding kerana sudah menetapkan pilihan mereka sendiri.

"BN membawa lebih banyak pembangunan kepada Kampung Cina, pelancong luar semakin ramai yang datang.

"Ekonomi bagus berbanding tujuh, lapan tahun lalu (semasa PAS perintah)," kata Linda Yoong (foto kanan) yang tinggal di kawasan tersebut sejak berpuluh tahun lalu.

Ho Bia Poh (foto bawah) pula berkata, beliau akan mengundi BN kerana ia telah memajukan negeri itu dengan pesat sekali.

terengganu chinese voters interview 280208 ho bia poh Katanya, beliau tidak menghiraukan manifesto sama ada BN atau PAS kerana itu semua tidak penting.

"Saya sudah tahu parti mana yang akan saya undi nanti," katanya lagi.

Penjaga tokong di Kampung Cina, Tan Kim Heng berkata, perkampungan tersebut nampak semakin berubah sejak diperintah BN empat tahun lalu.

Katanya, lampu-lampu jalan semakin banyak dipasang dan penduduk tidak takut untuk keluar malam.

"Nampak hidup sedikit Kampung Cina berbanding dahulu. Lampu terang-benderang macam ada pesta," katanya.

terengganu chinese voters interview 280208 tan eng Bagaimanapun, Teo Kon Huat (foto kiri) pula berkata, hidup di bawah PAS lebih senang sedikit kerana tiada bayaran cukai pintu.

Sekarang, kerajaan BN mengenakan cukai pintu iaitu RM200 sebulan.

"Saya tidak kisah siapa perintah kerana kedua-duanya hampir sama sahaja. Tapi zaman PAS ada untung sedikit kerana tiada cukai pintu," katanya lagi.

Sementara itu, peniaga ginseng Tan Eng Hock berkata, zaman BN perniagaannya lebih maju sedikit berbanding kerajaan negeri sebelum ini.

"Saya dapat pelanggan kira-kira 60 orang sehari, ini sudah cukup jika keadaan ekonomi negeri ini diambil kira," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS