Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sekitar berita pilihanraya umum 2008
Diterbitkan:  Mar 1, 2008 2:49 PM
Dikemaskini: 11:39 AM

Yang menarik, Datuk Seri Rafidah Aziz enggan ulas isu tandatangan borang pencalonan, manakala Datuk Azalina Othman nafi beli calon PKR.

Rafidah enggan ulas isu tandatangan

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Seri Rafidah Aziz enggan mengulas mengenai isu borang pencalonan yang dikatakan tidak ditandatangani sebelum diserahkan kepada Pegawai Pilihanraya (RO) pada hari penamaan calon Ahad lalu.

Katanya, beliau tidak perlu memberi sebarang ulasan keran aSuruhanjaya Pilihanraya telah menerima borang pencalonannya.

"Yang tu tak payah komenlah... Kenapa buang masa nak cakap pasal tu... Banyak lagi cerita lain boleh cakap," kata Rafidah mewakili kawasan tersebut sejak pilihanraya umum 1982.

Bernama melaporkan pada hari penamaan calon, Pesuruhjaya PAS membuat bantahan mengenai pencalonan Rafidah kerana mendakwa borang beliau yang dipamerkan di Dewan Merdeka, tidak ditandatangani.

Bagaimanapun, RO Datuk Ghazali Jalal menolaknya selepas merujuk kepada ibu pejabat SPR.

Selasa lalu, Pesuruhjaya PAS Perak Ahmad Awang membuat laporan polis meminta siasatan dilakukan terhadap RO tersebut kerana menerima borang pencalonan yang tidak ditandatangani.

Manakala Md Noor Kan, pencadang kepada calon PAS di Kuala Kangsar membuat laporan polis di Balai Polis Kuala Kangsar mengenai isu yang sama sehari sebelumnya.

Azalina nafi beli calon

Datuk Seri Azalina Othman Said, yang memenangi kerusi Parlimen Pengerang tanpa bertanding, menyifatkan dakwaan pembangkang bahawa beliau membeli calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Norazan Abdullah dengan bayaran RM1 juta sebagai amat mengarut dan bersifat fitnah semata-mata.

Bercakap ketika merasmikan Karnival Sukan Parlimen Pengerang di Kompleks Sukan Komuniti Felda Semenchu, hari ini, beliau berkata daripada membayar RM1 juta, lebih baik wang berkenaan digunakan untuk memajukan infrastruktur awam di dalam kawasan Parlimennya.

"Dia (Norazan) tidak mahu bertanding, jadi bukan salah saya. Memanglah, pembangkang menggunakan isu bahawa saya membeli calon berkenaan, tetapi percayalah perkara itu hanya fitnah semata-mata... jumlahnya besar, lebih baik bawa pembangunan di sini," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Azalina mengulangi pencapaiannya pada pilihan raya umum 2004, dengan menang tanpa bertanding.

BN rayu undi di DUN pembangkang

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata Barisan Nasional (BN) akan merayu untuk mendapatkan undi besar supaya BN dapat merampas semula dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dari tangan DAP dalam pilihanraya umum kali ini.

"Saya rayu pengundi beri kami peluang untuk memajukan DUN Kota Laksamana dan DUN Bandar Hilir," katanya kepada pemberita semalam.

Bernama memetik beliau sebagai berkata pengundi di kedua-dua DUN itu tidak perlu berbelah bagi dalam memberikan undi kepada BN.

"Kita minta pengundi jangan dua kali berfikir...ada yang tengah fikir (undi kepada siapa)...undi saja BN," katannya.

Mohd Ali berkata beliau akan menumpukan perhatian kepada pembangunan kedua-dua DUN itu sekiranya ianya berada di tangan BN.

BN Melaka menguasai kesemua enam parlimen dan 26 daripada 28 kerusi DUN pada pilihanraya umum lepas dan mensasarkan menang di kesemua kerusi pada pilihanraya 8 Mac ini.

BN mempertaruhkan calon baru Lee Kiat Lee, 32, seorang peguam dan Chock Choon Sin, 47, yang bertanding bagi kali kedua berturut-turut.

Lee akan menentang penyandang dari DAP Betty Chew yang juga Ketua Wanita parti itu di DUN Kota Laksamana manakala Chock akan bertemu muka baru Tey Kok Kiew yang juga Ketua Pemuda DAP di DUN Bandar Hilir.

ZAM: Anwar irihati dengan saya...

Manakala Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin menafikan beliau ditolak oleh pengundi Merbok dan sebab itu dihantar bertanding di kawasan Parlimen Sungai Petani.

"Orang yang membuat tuduhan itu tidak lain ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim, penasihat parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bertujuan memperkecilkan saya dan arisan Nasional (BN)," katanya dalam laporan Bernama.

Berucap pada majlis memperkenalkan calon-calon BN bagi kawasan Parlimen Sungai Petani dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam kawasan itu di sini, malam tadi, beliau berkata Anwar irihati sebab dia tidak boleh bertanding di kawasan lain.

"Dia (Anwar) hanya boleh ambil tempat isteri dia di Permatang Pauh. Itupun kalau Dr Wan Azizah (Ismail) menang pada pilihan raya umum ini," kata

Zainuddin.

Dr Wan Azizah baru-baru ini mengumumkan beliau akan mengosongkan kerusi Permatang Pauh untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding pilihan raya kecil kawasan itu sekiranya menang pada 8 Mac ini.

Calon bagi kerusi negeri kawasan Parlimen Sungai Petani ialah Datuk Dr Shuib Saedin (Pantai Merdeka), Datuk Soon Kok Wah (Bakar Arang) dan Datuk Fong Chok Gin (Sidam).

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid yang turut hadir berkata rakyat perlu tahu membezakan antara kebenaran dan cerita bohong bagi memilih ebuah kerajaan yang bertanggungjawab.

Telah menjadi kebiasaan bagi pembangkang untuk membangkitkan bermacam-macam perkara menjelang pilihanraya umum, katanya.

Beliau berkata rakyat perlu menerima kenyataan mengenai keupayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara sehingga setiap kaum dapat hidup dengan aman dan makmur.

"Sebab itu dasar dan tradisi BN membela setiap kaum selain 'aman dan makmur' dimasukkan dalam manifestonya," kata Mahdzir.

Nik Aziz sokong 'fatwa' Hadi

Selepas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang "menghalalkan" mengumpat, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula mengeluarkan "fatwa" yang sama membenarkan perbuatan mengumpat.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, berkata walaupun perbuatan mengumpat itu haram di sisi Islam tetapi ia ada tempat dibenarkan oleh syarak.

"Katanya sebagai contoh seseorang pergi membuat aduan di balai polis tentang barangnya dicuri dan apabila polis bertanya nama pencuri tidak munasabah engadu tidak mahu menyebut nama si pencuri itu kalau ia kenal," katanya kepada pemberita selepas melakukan upacara pecah tanah Sekolah Maahad Tahfiz Al-Quran Nurul Hidayah, Tualang Tinggi, di sini petang ini.

Bernama memetik Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas fatwa terbaharu Abdul Hadi dalam kempen pilihan raya umum ke-12 yang membenarkan semua calon Pas yang bertanding mengumpat, membuat tuduhan serta mendedahkan keburukan lawan masing-masing.

Abdul Hadi berkata Islam membenarkan tindakan tersebut kerana urusan memilih pemimpin merupakan satu perkara yang amat besar selain menepati sistem demokrasi moden.

Nik Abdul Aziz juga meminta pihak media menghentikan daripada memburuk-burukan Abdul Hadi berhubung isu mengumpat.

Beliau berkata Abdul Hadi adalah seorang alim dan pernah bermimpi berjumpa dengan Nabi Muhammad.

"Surat khabar macam tu (suka memburuk-burukkannya sedangkan) dia orang alim," katanya.

Bangunan asal sekolah berkenaan, yang menempatkan asrama dan pejabat, hangus dalam kebakaran mengejut akhir tahun lepas yang menyebabkan lebih 100 pelajar hilang tempat tinggal.

PM: PAS sengaja tuduh Umno bergolak

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata PAS membuat strategi untuk mengelirukan orang ramai dengan mendakwa Umno Kelantan sedang menghadapi pergolakan dalam parti.

Beliau berkata PAS akan sentiasa berusaha untuk mereka-reka maklumat palsu kepada orang ramai bagi menimbulkan kekeliruan yang lama kelamaan akan menyebabkan orang ramai mempercayai dakwaan itu, walaupun ia tidak berasas.

Bernama memetik beliau sebagai berkata strategi itu boleh mengakibatkan rakyat marah dengan Barisan Nasional (BN) dan tawar hati dengan usaha ikhlas BN untuk membawa

pembangunan di Kelantan.

"Itulah strategi PAS," katanya pada sidang akhbar pada majlis pecah tanah pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan di Bacok, Tangok, semalam.

Beliau mengulas tindakan PAS berkempen pada orang ramai supaya mengundi PAS pada pilihanraya umum 8 Mac ini dan bukan BN disebabkan pergolakan dalam Umno.

Perdana Menteri yang ditemani isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah, adalah dalam rangka lawatan sehari ke Kelantan.

Abdullah juga menasihatkan calon-calon BN bagi pilihanraya umum ini supaya bersikap rendah diri dengan orang ramai.

"Malam ini (semalam) saya akan jumpa mereka dan beritahu mereka, wakil rakyat BN, bahawa kita kenalah bersikap rendah diri dengan rakyat dan jangan sombong," katanya.

Beliau menjawab soalan bahawa terdapat sesetengah calon BN yang sombong berbanding calon PAS yang dikatakan lebih berbudi bahasa.

ADS