Kerajaan perlu membayar khidmat jurubahasa untuk perbicaraan walau peguam digalakkan mengambil jurubahasa bebas sebagai langkah mengatasi kekurangan bilangan mereka.
"Masalah ini menjadi tanggungjawab mahkamah (court of the state) kerana kita bukanlah negara miskin," kata Pengarah Tenaganita, Irene Fernandez kepada malaysiakini , mengulas cadangan Ketua Hakim Malaya, Tan Sri Wan Adnan Wan Ismail yang membenarkan jurubahasa bebas bagi mengelakkan kes seperti itu tertangguh.
Beliau menambah, kenyataan ketua hakim itu "tidak jelas" sama ada ia melibatkan kes-kes sivil atau jenayah.
Wan Adnan dalam laporan akhbar hari ini berkata mahkamah akan menerima jurubahasa yang dibayar oleh peguam terutama jurubahasa Cina kerana akan membantu mempercepatkan perjalanan sesuatu kes.
"Adalah tidak adil sekiranya pelanggan (kepada peguam) terpaksa menanggung kos tersebut," tegas Irene, sekiranya seseorang peguam mengenakan bayaran tambahan daripada khidmat seseorang jurubahasa.
Aktivis hak pekerja asing itu kini menghadapi perbicaraan "menerbitkan berita palsu" selepas mengemukakan memorandum berhubung kematian dan penderaan di kem tahanan pendatang asing dalam satu sidang media pada bulan Ogos 1995.
Menurut beliau, sepanjang hampir lima tahun itu, perbicaraan itu ditangguhkan sebanyak 52 kali kerana masalah sukar mendapatkan jurubahasa.
Malaysiakini semalam melaporkan sejak tahun lepas, kes itu tertangguh sebanyak 47 kali kerana kesibukan jurubahasa Bangladesh yang terpaksa mengendalikan kes-kes lain.
Ahli jawatankuasa pusat Parti Keadilan Nasional itu menambah, kerajaan sewajarnya mengenal pasti punca kekurangan jurubahasa kerajaan itu.
"Kerajaan perlu mengambil inisiatif dengan menawarkan skim gaji yang lebih menarik," saran Irene, sambil menambah mahkamah memerlukan lebih ramai golongan yang pakar dalam bidang bahasa.
Wan Adnan dalam laporan Utusan Malaysia itu turut bersetuju bahawa kebanyakan individu yang layak sebagai jawatan jurubahasa lebih suka berkhidmat dengan kerajaan dalam bidang-bidang lain.
