Antara yang menarik: penyokong BN, DAP hampir bertumbuk di Kuching serta ulasan Tun Dr Mahathir Mohamad tentang pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Penyokong BN, DAP hampir bertumbuk
Pertelingkahan antara dua parti politik di Sarawak yang nyaris-nyaris membawa kepada terkuburnya kerjaya seorang ahli politik, hampir mencetuskan pergaduhan antara penyokong mereka semalam.
Bagaimanapun, tindakan pantas polis menghalang kejadian itu menjadi semakin buruk di luar bangunan Majlis Bandar Kuching Selatan (MBKS), walaupun kedua-dua pihak saling memekik dan menolak satu sama lain dalam suatu suasana tegang.
Semuanya bermula apabila Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP), yang juga Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan, melemparkan cabaran kepada calon parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen Sabtu lalu berkaitan pelantikan Datuk Bandar Bandar Raya Kuching Selatan.
Menurut Bernama, jawatan itu kosong sejak Ogos lalu berikutan kematian Chong Ted Tsiung, datuk bandar pertama bandar raya ini, yang bukan merupakan ahli politik.
Pelantikan Chong pada 2006 memecah tradisi kerana beliau merupakan kakitangan awam pertama yang menyandang jawatan itu. Sebelum ini, ia disandang oleh ahli politik daripada SUPP yang menjadi parti komponen BN. Kini, Amin Hassan, Timbalan Datuk Bandar MBKS, memangku jawatan itu.
Dr Chan mencabar Chong supaya melepaskan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Sentosa dan Anggota Parlimen Bandar Kuching sekiranya beliau dipilih sekali lagi pada pilihanraya umum 8 Mac ini dan sekiranya kerajaan negeri Sarawak membuat keputusan untuk melantik seorang Cina sebagai Datuk Bandar Bandar Raya Kuching Selatan yang baru.
Dr Chan berkata beliau sedia melepaskan jawatan parti dan jawatan dalam kerajaan sekiranya - seperti yang didakwa oleh Chong - bahawa Datuk Bandar Banda Raya Kuching Selatan akan datang adalah seorang yang bukan berketurunan Cina.
Bagi membuktikan beliau serius dengan cabaran itu, Dr Chan meminta pasukan peguam partinya menyediakan dokumen untuk ditandatangani hari ini agar kedua-dua pihak akan mengotakan janji mereka jika apa yang didakwa oleh salah seorang daripada mereka terbukti salah.
Keengganan Chong untuk memandatangani dokumen itu menimbulkan kemarahan penyokong BN dan membawa kepada perbuatan tolak-menolak serta saling menjerit antara satu sama lain. Bagaimanapun, setelah dinasihati polis, penyokong kedua-dua parti itu bersetuju untuk beredar dari tempat berkenaan secara aman.
Aziz tidak pengaruhi saya, kata Dr M
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dipengaruhi Datuk Seri Abdul Aziz Shamsuddin dalam kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai timbalan perdana menteri pada 1998.
Sebaliknya, kata beliau, keputusan pemecatan Anwar berdasarkan maklumat pihak polis dan dibincangkan bersama semua Menteri Besar dan anggota Majlis Tertinggi Umno sebelum tindakan diambil.
Beliau mengulas dakwaan pembangkang yang mengatakan Dr Mahathir kononnya dipengaruhi oleh Abdul Aziz yang ketika itu adalah Setiausaha Politiknya berhubung pemecatan Anwar.
Abdul Aziz akan mempertahankan kerusi Parlimen Shah Alam dalam pilihanraya umum 8 Mac ini, berdepan dengan calon PAS Khalid Abd Samad.
Mengenai dakwaan pembangkang yang beliau rasa bersalah dengan tindakan terhadap Anwar itu, Dr Mahathir berkata: "Saya cakap cara sinis pasai semua orang tau bukan saya tangkap dia (Anwar). Yang tangkap dia polis, yang bicara dia hakim, yang masukkan dia dalam penjara orang lain bukan saya."
BN tolak calon bebas
Calon bebas bagi kawasan Parlimen Baram, Kebing Wan, tidak akan diterima ke dalam Barisan Nasional (BN) sekiranya beliau memenangi pilihan raya pada hari Sabtu ini.
Menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Alfred Jabu, langkah menerima calon bebas adalah bertentangan sama sekali dengan prinsip BN.
Bercakap dalam sesi bertemu rakyat di Rumah panjang Iban, Rh Morgan, di Beluru semalam, beliau berkata pengundi tidak seharusnya percaya dengan kata-kata calon bebas, kononnya akan diterima ke dalam BN, kerana ia hanya taktik untuk meraih undi.
Calon BN bagi kawasan parlimen Baram, Datuk Jacob Dungau Sagan, akan berhadapan dengan Kebing dalam pertandingan satu lawan satu di kawasan itu yang mempunyai 24,941 pengundi, kebanyakannya Orang Ulu.
Calon BN minta bantuan pemandu teksi
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamad meminta bantuan Persatuan Kebajikan Tuan-Tuan Punya Teksi & Kereta Sewa Johor Baharu ke Singapura (PKTPTKS) dan Gabungan Pemandu Teksi Johor (GAPET) untuk turut serta berkempen bagi pihaknya.
Katanya mereka boleh berbuat demikian dengan menerangkan kepada penumpang betapa pentingnya keluar mengundi pada 8 Mac ini, dan memberi sokongan padu kepada calon BN.
Permintaan itu dibuat beliau di hadapan lebih 100 pemandu PKTPTKS dan GAPET yang berhimpun untuk memberikan sokongan moral kepada beliau serta calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Rinting Chia Song Seng dan DUN Kempas Datuk Osman Sapian.
"Bantulah kami dengan memberitahu orang ramai supaya menunaikan tanggungjawab mereka keluar mengundi, agar mereka tidak mensia-siakan setiap undi yang berharga itu," katanya kepada pemberita di Hentian Teksi Bandar, Jalan Trus di sini hari ini.
Sementara itu Presiden GAPET Raja Mohd Nor Raja Mohd berkata beliau serta rakan-rakan pemandu teksi dan kereta sewa di Johor Baharu akan terus memberi sokongan kepada BN pada pilihanraya akan datang walaupun selepas mereka bersara.
