BERITA

Kecoh siswa disyaki 'pengundi hantu'

Muda Mohd Noor

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mac 2008, 8:50 pagi

Polis terpaksa menyelamatkan lima buah bas yang membawa pelajar pusat pengajian tinggi selepas dikepung oleh kira-kira 150 penyokong sebuah parti politik yang mengesyaki mereka sebagai "pengundi hantu".

Ketua Polis Terengganu, Datuk Ayob Yaakob berkata, lima bas tersebut dikepung di perkarangan Masjid Terapung, di Kuala Ibai, Kuala Terengganu awal pagi tadi.

Ketika dihubungi Malaysiakini , beliau berkata, polis dimaklumkan oleh orang ramai mengenai kejadian itu kira-kira jam 5 pagi.

Sehubungan itu, katanya seramai 80 orang anggota polis telah dikejar ke tempat kejadian untuk mengawal keadaan.

Katanya, pihak polis bertindak membawa bas-bas dan semua pelajar berkenaan ke tempat yang selamat.

Ayub tidak menyatakan tempat selamat tersebut tetapi Malaysiakini difahamkan, mereka dibawa ke perkarangan Wisma Darul Iman, iaitu kompleks pejabat kerajaan negeri Terengganu.

Pada masa yang sama, empat buah bas lagi yang membawa pelajar kumpulan yang sama, berada di Marang, juga dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.

Apabila mendapat tahu mengenai kejadian tersebut, mereka telah meminta bantuan polis di Marang untuk mengiringi mereka ke tempat yang selamat tersebut.

Menurut beliau, sembilan buah bas tersebut membawa seramai 350 orang, sebahagian besarnya penuntut pusat pengajian tinggi.

Setakat ini, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat berhubung kejadian tersebut.

Ayub berkata, polis juga menerima dua aduan daripada pemandu terbabit, kerana cermin bas mereka pecah, dipercayai dilontar batu.

Pagi tadi, katanya, bas-bas tersebut telah dibenarkan beredar dari Kuala Terengganu secara berperingkat-peringkat dengan diiringi oleh pihak polis.

Sehubungan itu, Ayub mengingatkan orang ramai supaya jangan bertindak sendiri kerana hanya polis sahaja yang boleh membuat tangkapan.

"Kalau tidak puas hati, boleh buat laporan polis," kata beliau sambil menasihatkan pemimpin parti-parti politik supaya mengawal tindak-tanduk penyokong supaya tidak menimbulkan sebarang kekacauan.

Beliau juga mengingatkan bahawa orang ramai tidak boleh mengadakan perhimpunan secara haram pada hari mengundi.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.