BERITA

Polis: Jangan keruhkan suasana

Diterbitkan
Dikemaskini 17 Mac 2008, 7:29 malam

Polis Pulau Pinang menjelaskan bahawa permit yang dikeluarkan Khamis ini adalah untuk perhimpunan sambutan Maulidur Rasul dan bukannya untuk perhimpunan politik.

Sehubungan itu, ketua polis daerah Timur Laut, ACP Azam Abdul Hamid menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin terutama menerusi SMS atau panggilan telefon yang mendakwa negeri itu sedang dilanda kekacauan.

Jumaat lalu, satu perhimpunan diadakan di hadapan pintu masuk utama Komtar sebagai membantah tindakan kerajan negeri baru pimpinan DAP-PKR yang tidak mahu meneruskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bernama memetik ACP Azam sebagai berkata polis sendiri menerima panggilan kononnya berlaku kekecohan di sekitar negeri ini.

"Sehingga hari ini, kita menerima empat panggilan telefon berhubung perkara ini dan kita sedang mengenal pasti mereka yang membuat panggilan.

"Polis percaya khabar angin ini sengaja disebarkan pihak tertentu dengan tujuan untuk mengeruhkan keadaan yang aman tenteram," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau turut memberi amaran agar pihak tertentu tidak menyebarkan SMS mengenai perhimpunan besar-besaran yang didakwa akan didakan Khamis ini, sempena sambutan Maulidur Rasul.

"Permit hanya dikeluarkan untuk tujuan sambutan tersebut dan bukan untuk perhimpunan politik," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.