Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 7:50pm Ketua Wanita Umno, Datuk Rafidah Aziz berkata, beliau terkejut, kecewa dan sedih apabila tiada seorang pun pemimpin wanita (Umno), termasuk dirinya, dilantik menganggotai kabinet yang diumumkan semalam.

"(Pergerakan) Wanita tidak pernah lihat dalam sejarah kabinet negara, tiada wakil Wanita tetapi saya tidak tanya Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) mengenai perkara itu.

"Ketua Wanita MCA ada (dalam kabinet), ketua Wanita Umno tiada. Tetapi tidak sedap pula bercakap hal ini.

rafidah aziz "Tetapi saya ketua Wanita Barisan Nasional (BN), saya tidak protes kepada Perdana Menteri. Malulah saya hendak jawatan," katanya dalam sidang media di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di ibu negara hari ini.

Wartawan penuh sesak dalam sidang media yang memakan masa hampir satu setengah jam itu. kira-kira 10 exco Wanita Umno berada di sekeliling Rafidah sepanjang sidang media tersebut.

Rafidah berkata, pada jam 9 pagi semalam, Perdana Menteri menelefon beliau memaklumkan namanya telah digugurkan daripada barisan kabinet.

"Kami bercakap dengan ramah. Dia (Pak Lah) kata terima kasih kepada saya.

"Saya tanya mengapa (digugurkan), Perdana Menteri kata, dia nak orang baru. Bila saya terima jawaban itu, saya telefon dan (kirim) SMS kawan-kawan beritahu saya digugurkan.

"Saya juga tidak mendapat indikasi (awal) bahawa nama saya (bakal) digugurkan daripada senarai kabinet. Kalau tidak jadi menteri, buat apa saya dipilih bertanding di parlimen," katanya lagi yang mempertahankan kerusi Kuala Kangsar.

Ketika ditanya adakah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said merupakan ahli Wanita Umno, Rafidah berkata, "kena tanya Perdana Menteri atau Azalina sendiri."

Rafidah menegaskan beliau tidak memendam rasa kecewa dan boleh menerima keputusan tersebut.

Katanya, Allah memberi ujian kepadanya dan Tuhan yang menentukannya.

Beliau berkata, beliau ada menghantar surat kepada Perdana Menteri tetapi enggan mendedahkan isi kandungannya.

Rafidah berkata, walaupun digugurkan dari kabinet, beliau akan terus bekerja untuk Umno - menepis spekulasi awal bahawa beliau memanggil sidang media itu untuk mengumumkan peletakan jawatan.

"Biar orang bercakap saya (mahu) letak jawatan ketua Wanita, tetapi tuan punya badan kata tidak. Saya ketua Wanita Umno dan BN, naib presiden Umno dan ahli biro politik Umno," kata Rafidah lagi.

Beliau berkata, tidak ada sebab untuk beliau meletakkan jawatan sebagai ketua Wanita Umno, kerana jawatan itu dipilih oleh perwakilan parti.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli-ahli parti bersatu, tenang dan terus bekerja untuk parti.

"Saya bersyukur kerana berjasa kepada negara, 32 tahun dalam kabinet dan telah telah puas memberi sumbangan kepada parti," katanya.

Rafidah berkata, beliau pernah ditawarkan untuk jawatan setiausaha agung Pertubuhan Negara Komanwel dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) tetapi menolak kerana mahu berkhidmat kepada negara.

Mengulas mengenai sekumpulan pemimpin Wanita Umno yang mengadakan bantahan di Putrajaya semalam berhubung isu wakil Wanita dalam kabinet, Rafidah berkata, dia tidak tahu mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, setiausaha kerja Wanita Umno, Datuk Faridah Abu Hassan yang turut hadir dalam sidang media itu menjelaskan rancangan exco Wanita Umno untuk menemui Perdana Menteri jam 5 petang ini telah dibatalkan.

Pembatalan ini kerana, tambahnya, exco pergerakan itu berpendapat ahli-ahli perlu meneruskan kerja untuk parti (Wanita Umno).

Faridah juga berkata, aktivis-aktivis pembangkang kini datang berjumpa ketua Wanita Umno di peringkat cawangan-cawangan untuk meminta mereka melompat parti.

"Mereka kata, kalau masuk, mereka akan dapat duit, jumlahnya berdasarkan kawasan tertentu.

"Tetapi ahli kita tolak. Ini maklumat yang kita terima dari bawah," katanya.

ADS