Buat pertama kalinya kerajaan PAS Kelantan melantik seorang wanita menganggotai barisan exco kerajaan negeri itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijang, Wan Ubaidah Omar, 52, akan mengetuai jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.
Wan Ubaidah memenangi kerusi Kijang tanpa bertanding.
Selain Wan Ubaidah, menteri besar Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat turut memperkenalkan muka-muka baru dalam barisan exco negeri. Pengumuman itu dibuat oleh timbalan menteri besar, Datuk Ahmad Yaacob hari ini.
Mengenai pelantikannya itu, Wan Ubaidah, seorang ibu tunggal sejak 2001 dan mempunyai tujuh orang anak berkata, pengalamannya akan membantunya melaksanakan tugas dalam portfolio yang disandangnya itu.
Dua lagi muka baru ialah Adun Temangan, Dr Mohd Fadhli Hassan dan Adun Wakaf Baru, Che Abdullah Mat Nawi.
Mohd Fadhli mengetuai jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi. Manakala Che Abdullah mempengerusikan jawatankuasa Pertanian, Industri
Desa dan Bioteknologi.
Tukar portfolio
Nik Aziz sendiri akan mempengerusikan jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli manakala timbalan menteri besar mempengerusikan jawatankuasa Pentadbiran Awam, Pembangunan Tanah dan Wilayah.
Manakala Datuk Husam Musa pula dipertanggungjawabkan untuk mempengerusikan jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan.
Sementara itu, Datuk Anuar Tan pula bertukar portfolio kepada jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Perpaduan Masyarakat.
Manakala sektor pelancongan pula dimasukkan dalam bidang kuasa jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan yang dipegang oleh Datuk Takiyuddin Hassan.
Nik Mohd Amar Nik Abdullah juga berubah portfolio kepada Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah.
Mejar (B) Md Anizam Abd Rahman dikekalkan memegang portfolionya sebelum ini iaitu Perumahan, Kerja Raya, Utiliti dan Alam Sekitar, yang sebelum ini dikenali sebagai Kerja Raya, Infrastruktur dan Alam Sekitar.
Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO pula dipegang oleh Abdul Fattah Mahmood yang sebelum ini memegang portfolio Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan.
Kelantan mempunyai 11 anggota exco termasuk menteri besar, Nik Aziz.
Kekalkan DEB
Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama exco kerajaan negeri, Nik Aziz berkata sebuah badan mesti diwujudkan untuk memastikan program kebajikan diselaraskan di semua lima negeri yang dikuasai pembangkang.
Menurutnya, gabungan PAS-DAP-PKR mesti bekerja keras untuk memenuhi janji-janji dalam manifesto pilihanraya bagi mewujudkan sebuah negara berkebajikan.
Nik Aziz juga berkata, Dasar Ekonomi Baru (DEB) juga harus dikekalkan tetapi dengan membuat beberapa perubahan dalam pelaksanaannya.
Menurutnya, prinsip DEB adalah baik tetapi ia telah tercemar oleh pelaksanaan yang lemah di tangan golongan yang salah.
Dalam Islam, katanya, apa-apa yang tidak baik mesti dibuang tetapi yang baiknya dikekalkan dengan membuat perubahan bagi menyesuaikan dengan keperluan.
