BERITA

Idris: Tak perlu ganti Pak Lah

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Mac 2008, 4:58 pagi

Pengerusi badan perhubungan Umno Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh yakin ahli-ahli akan terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai presiden Umno dalam perhimpunan agung Umno akan datang.

"Kita tunggu sahaja perhimpunan agung Umno, saya percaya dengan kepercayaan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri kepada Datuk Seri Abdullah, tiada perebutan akan berlaku dalam Umno," katanya ketika diminta mengulas hasrat ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan nombor satu.

idris jusoh 01 Menurut Idris, Umno tidak perlu mengubah pucuk pimpinan sedia ada kerana mereka mampu menerajui parti dan negara.

Katanya, walaupun semasa pilihanraya baru-baru ini kerajaan kekurangan lapan kerusi untuk memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, namun rakyat masih setia menyokong Barisan Nasional (BN) dan Umno pimpinan Abdullah.

"Barisan kabinet yang telah dikemukakan oleh Pak Lah merupakan barisan yang mantap dan kita lihat beliau juga telah mengemukakan pelan tindakan (untuk mengembalikan kepercayaan rakyat pada BN) yang baik dan saya tidak nampak mengapa kita harus melakukan perubahan," kata Idris kepada pemberita di Marang, Terengganu hari ini.

Bernama memetik Idris sebagai berkata, beliau yakin Abdullah akan terus kekal sebagai presiden dan Umno Terengganu akan terus menyokong kepimpinan beliau.

mohd khir toyo Mengenai peletakan jawatan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai setiausaha agung Umno dan BN serta peletakan jawatan pengerusi perhubungan Umno dan BN Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, Idris berkata ia merupakan satu perkara biasa.

"Mereka yang merasakan tidak dapat bekerja dengan berkesan tanpa jawatan dan dengan rela hati letak jawatan merupakan satu perkara biasa di mana-mana pun.

"Ada yang merasakan mereka perlu ada jawatan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab, ada yang merasakan tidak perlu. Jadi itu perkara biasa di mana-manapun dan kita terima baik tindakan-tindakan yang mereka ambil," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.