Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Timbalan menteri letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 26, 2008 10:01 PM
Dikemaskini: Mar 27, 2008 8:52 AM

kemaskini 2:42pm Lebih kurang seminggu sejak dilantik, Datuk Abdul Ghapur Salleh membuat kegemparan apabila meletak jawatannya sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Surat peletakan jawatan pemimpin Umno itu dikirim semalam kepada Perdana Menteri dan berkuatkuasa serta-merta.

Perkembangan mengejutkan ini satu lagi tamparan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang sering dipersalahkan atas ketewasan besar-besaran BN dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Beliau sendiri mengakui kelambatannya menunaikan janji reformasinya pada pilihanraya 2004 antara punca kekalahan teruk itu.

abdul ghapur salleh and abdullah ahmad badawi Peletakan jawatan Abdul Ghapur, ahli parlimen Kalabakan yang menang tanpa bertanding dalam pilihanraya umum lalu, mengikut jejak dua lagi ahli parlimen Umno yang enggan menerima jawatan timbalan menteri selepas nama mereka diumumkan dalam barisan kabinet pada 18 Mac.

Ahli parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman, menolak jawatan timbalan menteri pengangkutan.

Manakala ahli parlimen Jerantut, Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar, menolak jawatan timbalan menteri luar.

Kedua-duanya dilaporkan menolak, antaranya, dengan alasan telah lama berkhidmat dan sewajarnya diberikan jawatan menteri.

Penolakan seumpama itu dipercayai pertama kali berlaku.

Malaysiakini difahamkan, surat peletakan jawatan Abdul Ghapur dikirim melalui faksimili ke pejabat Perdana Menteri petang semalam.

Tidak mahu terikat

Malam tadi desas-desus tentangnya mula berkembang melalui mesej SMS dan laman-laman web, termasuk percubaan untuk menekannya agar menarik balik surat tersebut.

Menurut beberapa laporan media hari ini, beliau berbuat demikian kerana "tidak mahu terikat dengan tugas sebagai timbalan menteri kerana mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada penduduk di Kalabakan."

Perdana Menteri setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.

Selain itu, pemilihan kabinet 2008 menularkan perasaan kurang senang yang meluas di beberapa negeri dan dalam kalangan beberapa tokoh Umno.

Sehari selepas pengumuman kabinet, ahli parlimen Kangar Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad melepaskan jawatan setiausaha agung Umno dan BN susulan penggugurannya daripada kabinet.

Datuk Seri Rafidah Aziz, wakil Kuala Kangsar, melahirkan rasa terkejut apabila tidak dilantik semula.

Di Sabah, beberapa pemimpin parti komponen BN termasuk Umno berasa tidak dihargai walaupun telah memberi sokongan besar dalam pilihanraya ke-12.

Gara-gara itu, dua ahli parlimen dari Sarawak dilaporkan ingin meninggalkan BN - Datuk Dr Tiki Lafe (Mas Gading) dan Richard Riot (Serian) bagaimanapun menafikannya.