Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak wajar menaikkan yuran kemudahan bersukan di gimnasium-gimnasium miliknya sehingga 300 peratus kerana ia sasaran golongan berpendapatan rendah, kata Parti Rakyat Malaysia (PRM).
Lagipun, kata naib presiden PRM Koh Swe Yong, kemudahan sukan itu tidak diselenggara dengan baik.
"Hanya sebuah gimnasium sahaja yang boleh beroperasi.
"Kelengkapannya pun dalam keadaan buruk dan sebenarnya tidak selesa dan berbahaya," katanya dalam memorandum kepada Datuk Bandar KL, Datuk Hakim Borhan.
DBKL dilaporkan bercadang memperkenalkan kadar baru itu mulai Selasa depan.
Datuk Bandar meluluskan kenaikan kadar sewa itu pada 5 Februari.
Memorandum itu, yang disertai 20 keping foto kerosakan alat-alat senaman, diterima
Malaysiakini
hari ini.
"Wang (sewa) yang dikutip difahamkan tidak dikeluarkan untuk membuat selenggaraan," kata Koh.
"Walaupun (DBKL) diminta berkali-kali untuk membaiki dan menaik taraf kelengkapan, tetapi permintaan ini selalu tidak dihiraukan. Akan tetapi, sewa masih tetap dikutip daripada pengugjung."
PRM menggesa Datuk Bandar lebih peka pada permintaan ramai kerana rata-rata penduduk di ibu kota menolak kenaikan kadar sewa itu melalui undi pada 8 Mac - 10 daripada 11 kerusi parlimen di Wilayah Persekutuan berjaya ditawan pembangkang.
"Datuk Hakim Borhan harus sensitif terhadap reaksi orang ramai dengan menarik balik keputusannya menaikkan sewa dengan segera, pada masa yang sama menumpukan tenaga DBKL untuk meningkatkan mutu penyelenggaraan kelengkapan sukan," tambah Koh.
Memorandum itu juga menyebut, sebagai kemudahan awam yang dibangunkan hasil kutipan cukai, kompleks-kompleks sukan DBKL tidak harus dikenakan sewa tinggi.
"Pengguna kompleks sukan biasanya datang daripada golongan berpendapatan rendah kerana mereka tidak mampu ke kompleks sukan yang dikelolakan oleh swasta.
"Dalam keadaan harga melambung sekarang, bayaran sewa RM2 sekali (masuk) sudah menjadi bebanan berat, kerana sebulan berjumlah RM 60 jika pengguna menggunanya setiap hari.
"Jika sewa dinaikkan menjadi RM5 (sekali masuk), iaitu dinaikkan sebanyak 150%, jumlahnya menjadi RM 150," kata Koh.
Beliau juga bimbang bakat-bakat baru sukan daripada kalangan orang miskin tidak dapat dilahirkan kerana gagal membayar harga sewaan gim.
Gimnasium di Titiwangsa, tambah Koh lagi, melahirkan ramai ahli sukan negara ini seperti Rudy Salleh dan Sazali Samad.
