Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Usaha bendung ahli Umno bersuara
Diterbitkan:  Apr 2, 2008 4:16 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Kini seakan-akan wujud usaha untuk meredakan keghairahan perbincangan di semua peringkat ahli Umno mengenai perubahan yang perlu dilakukan terhadap parti tunggak BN - yang kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu.

Sebelum ini, pemimpin Umno di semua peringkat berdebat secara terbuka melalui media - sama ada menyokong atau membantah kuota pencalonan serta gesaan diadakan perhimpunan khas.

Bagaimanapun, keghairahan tersebut seperti mahu dibendung oleh pihak-pihak tertentu dalam Umno bagi menghadapi pemilihan pucuk pimpinan parti yang ditetapkan pada 16 hingga 20 Disember depan.

Kini, pihak media arus perdana khususnya hanya membesarkan berita-berita yang memetik kenyataan mereka yang menyokong dikekalkan sistem kuota untuk pemilihan jawatan tertinggi dalam Umno.

Mengikut sistem kuota, calon presiden mesti mendapat 30 peratus atau 58 pencalonan dari bahagian, timbalan presiden (20% atau 38 pencalonan), naib presiden (10% atau 19 pencalonan) dan majlis tertinggi (5% atau 10 pencalonan).

Kelmarin, contohnya, berita utama muka depan sebuah akhbar arus perdana bertajuk 'Kekalkan kuota pencalonan' yang memetik ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Taib mempersoalkan niat bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta sistem kuota tersebut dimansuhkan.

muhyiddin yasin muhyiddin yassin Manakala naib presiden Umno, Tan Sri Muhyiddn Yassin yang sebelum ini bersetuju kuota itu dimansuhkan, bertukar nada apabila mengatakan cadangan penghapusan kuota itu tidak mungkin dapat dilaksanakan tahun ini.

'Ketepi keraguan'

Katanya, ini kerana usul bagi perkara itu perlu dibuat pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) di peringkat cawangan dan bahagian, dan ia perlu dibuat sebelum Mei ini.

Mesyuarat agung Umno peringkat cawangan dijadualkan pada 17 Julai hingga 24 Ogos, manakala persidangan perwakilan bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November depan.

Semalam, Muhyiddin menggesa ahli Umno supaya mengetepikan segala keraguan dan menyokong kepimpinan parti dalam usaha mengukuhkan parti tersebut.

Katanya, mereka tidak seharusnya terlalu terbawa-bawa dengan isu-isu hangat seperti cadangan memansuhkan sistem kuota untuk bertanding jawatan parti sehingga melupakan isu-isu yang lebih penting dan kritikal.

musa aman 01 Jika kelmarin timbalan pengerusi Umno Sabah, Datuk Shafie Apdal menyokong sistem kuota dimansuhkan tetapi semalam pengerusi Umno negeri itu, Datuk Seri Musa Aman (foto) pula berkata, perkara itu perlu diserahkan kepada mesyuarat MT.

Katanya, perkara tersebut perlu dibincang dengan teliti dalam mesyuarat MT sebelum sesuatu keputusan dibuat mengenainya.

Pemuda Umno Pulau Pinang juga dilaporkan hari ini menolak cadangan untuk memansuhkan sistem kuota.

Keinginan ahli

Ketuanya, Mohamed Salim Abdul Bari berkata, jika dimansuhkan, ia boleh mewujudkan keadaan kelam-kabut dalam pemilihan parti sehingga boleh mengheret ahli ke kancah perpecahan.

Oleh itu, katanya, sistem kuota perlu diteruskan bagi memastikan setiap pemimpin yang bertanding mendapat sokongan ramai daripada akar umbi, bukan atas sokongan kumpulan tertentu sahaja.

Malah, katanya, kewujudan sistem tersebut sejak 1988 adalah hasil manifestasi keinginan seluruh ahli parti untuk melihat Umno terus kukuh dan bersatu padu bagi mengelak sebarang perpecahan.

abdul kadir sheikh fadzir Bekas menteri penerangan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir pula mencadangkan agar kuota itu diselaraskan kepada lima peratus sahaja.

Katanya, pengenalan sistem itu pada masa lalu dilakukan untuk mengelakkan calon tidak serius daripada bertanding.

Namun, katanya, dalam situasi hari ini, kemampuan untuk memenuhi kuota 30 peratus bagi membolehkan pertandingan jawatan presiden parti umpamanya, begitu mustahil kerana banyak ahli Umno yang inginkan perubahan tetapi takut untuk bertindak.

Jalan tengah

Kata beliau, cadangan menurunkan peratusan kuota itu sebagai jalan tengah yang wajar dipertimbangkan semua pihak.

Mengenai cadangan agar satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) diadakan bagi membincangkan isu kuota, beliau berkata, hal itu sebaik-baiknya diputuskan oleh MT sahaja.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac, BN buat pertama kali dalam sejarah gagal mempertahankan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, apabila hanya mampu meraih 140 daripada 222 kerusi parlimen.

Barisan pembangkang memenangi 82 kerusi parlimen - PKR (31), DAP (28) dan PAS (23).

BN juga kehilangan tiga negeri yang dikuasai Umno sebelum ini - Kedah, Perak dan Selangor. Barisan pembangkang juga merampas Pulau Pinang daripada Gerakan dan PAS kekal menguasai Kelantan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS