BERITA

Mahathir juga enggan letak jawatan

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Apr 2008, 4:55 petang

Sewaktu separuh ahli kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad meletakkan jawatan, mantan perdana menteri itu tidak berundur walau peletakan jawatan beramai-ramai itu isyarat menekan beliau, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob.

"Begitu juga apabila Tun hanya mencapai kemenangan 43 undi sahaja semasa bertanding dengan Ku Li.

"Keputusan itu menggambarkan kekuatan beliau hanya 50-50 tetapi tidak ada siapa yang mendesak beliau meletak jawatan," katanya, yang juga ahli parlimen Bera, mengulas peristiwa ketegangan dalam Umno pada 1987 yang mendorong parti itu diharamkan setahun kemudian.

Bercakap kepada media pada majlis meraikannya sebagai menteri, lapor Bernama , Ismail Sabri berkata Dr Mahathir tidak wajar mengkritik kepemimpinan perdana menteri menteri dan presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Tun tidak sepatutnya membuat kritikan terhadap soal pencalonan presiden, (sistem) kuota (pencalonan), undi bonus, dan kritikan terhadap Majlis Tertinggi.

"Sistem kuota misalnya adalah bermula sejak zaman Tun sebagai Presiden Umno lagi," beliau dipetik sebagai berkata.

Ismail Sabri juga membantah mesyuarat agung khas (EGM) seperti saranan ahli parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, dan disokong beberapa pemimpin dan bahagian.

EGM tidak perlu diadakan kerana perhimpunan agung Umno dijadualkan Disember ini, kata ketua bahagian Bera itu.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.