Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MCA bantah kenyataan Tengku Faris
Diterbitkan:  Apr 14, 2008 5:05 PM
Dikemaskini: 9:11 AM

Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting tidak bersetuju dengan kenyataan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Mohammad Faris Petra bahawa tidak wajar bagi kaum-kaum bukan Melayu menuntut persamaan hak.

Kenyataan seumpama itu, tegas beliau, akan menghancurkan perpaduan dan harmoni di kalangan rakyat pelbagai kaum.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ong berkata, ia juga tidak akan menguntungkan masyarakat majmuk di negara ini.

"Sejak 50 tahun yang lalu, pelbagai kaum telah bersama-sama bekerja keras untuk mencapai matlamat pembinaan negara, di mana mereka juga telah memberi sumbangan besar kepada pembangunan negara.

"Oleh itu, mereka juga mempunyai persamaan hak sepertimana yang terkandung dalam Perlembagaan," kata Ong lagi.

Menurut beliau lagi, Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan menyebut tentang melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak

Bagaimanapun, katanya, ia juga hendaklah dibaca bersama dengan Artikel 153 (7) yang menyatakan "tiada apa-apa juga dalam Perkara ini boleh berkuatkuasa untuk melucutkan atau memberi kuasa supaya dilucutkan hak, keistimewaan."

"Kenyataan yang dibuat oleh Tengku (Mahkota Kelantan) tidak konsisten dengan pendirian BN (Barisan Nasional) mengenai perpaduan kaum yang mempertahankan keadilan dan persamaan perkongsian," kata Ong.

Sabtu lalu, ketika merasmikan perhimpunan perpaduan Melayu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibunegara, Tengku Mohammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail dilaporkan bertitah bahawa adalah tidak wajar bagi kaum-kaum bukan Melayu yang mendapat kerakyatan, menuntut persamaan hak dan keistimewaan sebagaimana orang Melayu.

Sewajarnyalah, titah baginda, semua rakyat bersatu dan tidak harus ada ungkit mengungkit mengenai hak dan keistimewaan orang Melayu.

Perhimpunan yang disertai hampir 1,000 orang itu adalah anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

ADS