Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hakim tegur NST, isu 'bonus'
Diterbitkan:  Apr 16, 2008 8:07 PM
Dikemaskini: 3:58 PM

Presiden mahkamah rayuan Tan Sri Zaki Tun Azmi hari ini menegur akhbar New Straits Times di mahkamah terbuka berhubung satu artikelnya yang mendakwa persidangan hakim minggu lepas pernah mencadangkan pemberian bonus kepada hakim yang menulis penghakiman berkualiti.

Menyuarakan rasa kecewa dengan artikel itu, Zaki berkata artikel yang diterbitkan Isnin (14 April) tidak adil kepada ketua hakim negara Datuk Abdul Hamid Mohamad dan juga kepada semua hakim kerana perkara itu "tidak pernah disebut di luar lingkungan persidangan itu".

Menurut laporan Bernama , Zaki membuat kenyataan itu pada perbicaraan kes di mahkamah persekutuan membabitkan bekas wartawan NST Joceline Tan Poh Choo, editor kumpulan dan

penerbit New Straits Times Press (M) Bhd yang disaman oleh seorang peguam bagi memfitnah.

Artikel bertajuk "Govt mulls judgment bonus" menyatakan cadangan bagi bonus itu hanya untuk para hakim tanpa sebarang penghakiman bertulis tertangguh.

Peguam mohon maaf

Laporan itu juga memetik menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim sebagai berkata kerajaan bersedia menimbangkan semakan gaji asas hakim.

Semalam, Abdul Hamid menafikan laporan itu dan menjelaskan tiada cadangan atau perbincangan bagi pemberian bonus dan bahawa laporan itu "tidak benar dan tidak berasas".

Zaki berkata akhbar itu menerbitkan laporan mengenai sesuatu yang tidak berlaku dengan tajuk besar tetapi hanya menerbitkan ralat keesokannya dalam ruangan kecil yang sukar dilihat orang.

Ekoran kenyataan itu, peguam J. A. Yeoh yang mewakili NST dalam saman memfitnah mengemukakan permohonan maaf kepada badan kehakiman di mahkamah bagi pihak anak guamnya.

Zaki mengetuai panel tiga anggota terdiri hakim mahkamah persekutuan Datuk Nik Hashim Nik Ab. Rahman dan Datuk S Augustine Paul dalam prosiding yang dikemukakan oleh Tan dan dua yang lain memohon semakan terhadap keputusan mahkamah persekutuan yang memerintahkan rayuan ketiga-tiga mereka didengar semula oleh panel baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS