Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kelakuan hakim ke parlimen
Diterbitkan:  Apr 17, 2008 6:29 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Isu berhubung tindakan dan kelakuan hakim di mahkamah terbuka kemungkinan besar bakal diperbahaskan buat pertama kali di Dewan Rakyat hujung bulan ini, kata ahli parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh hari ini.

Bagaimanapun sebelum isu itu boleh diperdebat, ia perlu terlebih dahulu mendapat sokongan satu perempat anggota dewan berkenaan memandangkan Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan melarang kelakuan hakim diperbahaskan di Dewan Rakyat.

"Ini kali pertama Artikel 127 Perlembagaan Persekutuan digunakan bagi tujuan membincangkan kelakuan seorang hakim.

"Saya berkeyakinan akan mendapat sokongan dari ahli yang lain," katanya pada sidang media di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di Kuala Lumpur.

karpal singh Menurut laporan Bernama, Karpal yang sebelum ini pernah dibidas seorang Hakim Mahkamah Tinggi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berkata, tindakan hakim itu turut akan diperbahas kerana tindakannya itu telah menjatuhkan reputasi beliau (Karpal) sebagai ahli parlimen dan peguam.

Katanya walaupun beliau memberi masa secukupnya kepada hakim berkenaan agar memohon maaf, namun hakim itu enggan berbuat demikian dan menarik balik kenyataannya menempelak Karpal melalui kakitangannya (Karpal), peguam S Ranee, 5 Mac lalu.

Laporan akhbar berkenaan memetik hakim itu sebagai berkata: "I am very disappointed with Karpal Singh & Co. Please pass the massage that no matter how senior you are, the court does not wait for the counsel" dan "It was not the first time counsel from the law firm had acted at the last minute" ("Saya amat kecewa dengan Karpal Singh & Co. Tolong sampaikan pesan tidak kira betapa seniornya anda, mahkamah tidak menunggu peguam" dan "Ini bukan kali pertama peguam dari firma guaman itu bertindak pada saat-saat terakhir") ketika kes rayuan Mat Saad Mat Isa yang didakwa atas tuduhan merogol anak jirannya yang berusia lapan tahun.

Karpal telah menghantar surat kepada hakim itu pada 21 Mac lalu bagi mendapatkan penjelasan mengenai perkara itu dan setiausaha hakim itu, membalas melalui sepucuk surat bertarikh 26 Mac lepas menyatakan hakim itu tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai apa yang dilaporkan dan laporan itu adalah tidak benar.

Berdasarkan catatan nota prosiding, Mohamed Apandi hanya mencatat bahawa kes itu ditangguhkan kerana kegagalan peguam bela memfailkan hujahan dalam masa yang ditetapkan dan ia telah melambatkan pelupusan kes serta peguam gagal memberi jawapan yang memuaskan kerana tidak tahu kedudukan kes.

Kes itu sepatutnya dikendalikan anak Karpal, Ram Karpal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS