Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis 1988: K'jaan patut mohon maaf
Diterbitkan:  Apr 18, 2008 1:09 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Kerajaan sepatutnya bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keenam-enam hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988, kata presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, keputusan kerajaan untuk membayar ex-gratia kepada mereka merupakan isyarat bahawa kerajaan memikul beban kesalahan atas insiden pemecatan yang merupakan detik hitam dalam sejarah negara itu.

Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pemberian ex-gratia itu semasa berucap dalam majlis makan malam Majlis Peguam Malaysia di ibu negara malam tadi.

Abdullah berkata, keputusan itu dibuat sebagai menghargai sumbangan mereka: bekas ketua hakim negara Tun Salleh Abbas, Tan Sri Azmi Kamaruddin, Tan Sri Eusoffe Abdoolcader, Tan Sri Wan Hamzah Mohamed Salleh, Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh dan Datuk George Seah.

hadi awang and pas muktamar 2006 "PAS merasakan pihak kerajaan sepatutnya perlu bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keenam-enam negarawan ini, malahan Islam mengajar umatnya agar bersedia mengaku kesalahan dan memohon maaf apabila melakukan kesalahan," kata Abdul Hadi dalam satu kenyataan hari ini.

"Sesungguhnya Allah swt memberikan ganjaran kepada mereka yang bertaubat dan mengakui kesilapan masing-masing," tambahnya.

Perbetul kesilapan

Tambahnya, PAS menyambut baik usaha awal kerajaan itu untuk mengislah institusi kehakiman serta membetulkan kelemahan dan kesilapan yang lampau.

PAS, tegas beliau, berharap usaha reformasi tersebut akan mengembalikan kewibawaan institusi kehakiman, dan memastikan ia dipimpin oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan berkelayakan serta benar-benar mempertahankan keadilan.

judiciary forum lingam tape 171107 salleh abbas palace of justic "Dalam pada itu PAS berharap agar perubahan turut akan berlaku dalam aspek-aspek lain, termasuklah sistem pentadbiran kerajaan, sistem demokrasi, media dan lain-lain yang semuanya penting dalam menjamin sebuah negara yang benar-benar merdeka dan demokratik.

"PAS akan terus memberikan sokongan terhadap apa sahaja usaha dan langkah baik seumpama ini," kata Abdul Hadi lagi.

Sementara itu, PAS juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Salleh dan rakan-rakannya yang telah dikembalikan kewibawaan mereka sebagai tokoh-tokoh kehakiman negara apabila kerajaan bersetuju membayar ex-gratia angkara dipecat secara zalim pada 1988.

"Jasa dan sumbangan mereka ini sesungguhnya akan terpahat dalam sejarah kehakiman negara dan pasti akan menjadi contoh kepada semua rakyat khasnya para hakim, sebagai bukti betapa kebenaran dan keadilan perlu dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun," kata Abdul Hadi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS