Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khairy: Keris antara punca BN kalah
Diterbitkan:  Apr 18, 2008 5:39 PM
Dikemaskini: Apr 19, 2008 5:01 PM

Naib ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini mengakui bahawa isu keris menjadi satu daripada beberapa punca sokongan kepada BN merosot dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Beliau bagaimanapun menolak tanggapan bahawa isu keris menjadi punca utama pengundi, khususnya bukan Melayu, tidak menyokong ramai calon BN dalam pilihanraya umum tersebut.

"Kita perlu mengkaji dan berfikir untuk melihat isu keris ini secara terbuka," kata Khairy, yang juga ahli parlimen Rembau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di "retreat" ahli-ahli parlimen BN di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur hari ini.

umno 2007 pemuda keris 061107 unsheath Kelmarin dua akhbar bawah Kumpulan NSTP, yang dikaitkan dengan Khairy, Berita Harian dan New Straits Times menyalahkan ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein kerana menghunus keris 'Panca Warisan' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2005.

Bagaimanapun, kata Khairy, beliau tidak pasti sama ada isu keris tersebut akan di bawa ke perhimpunan agung Pemuda Umno hujung tahun ini.

"Saya juga tidak tahu sama ada isu keris ini akan dibangkitkan dalam mesyuarat exco pergerakan Pemuda Umno," tambah Khairy.

Beliau berkata, pada keseluruhannya, isu keris merupakan salah satu punca sokongan kepada BN berkurangan dalam pilihanraya umum ke-12.

"Kita perlu kenal pasti sebab-sebab timbul isu keris," tambahnya.

Isu keris menjadi polemik besar selepas Astro membuat siaran langsung perhimpunan agung Umno pada 2006 sewaktu 'Panca Warisan' diarak masuk ke dewan dan kemudiannya dihunus dan dikucup oleh Hishammuddin.

khairy jamaluddin in umno meeting kissing the keris 040906 Beliau menjulang keris bagi menunjukkan perjuangan Pemuda Umno mendaulatkan Agenda Melayu.

Bagaimanapun, tindakan Hishammuddin itu dikritik hebat oleh parti-parti komponen dalam Barisan Nasional dan yang paling lantang - Pemuda MCA dan Pemuda Gerakan.

Hishammuddin mempertahankan tindakannya itu dengan menyatakan menghunus keris bukan bererti seseorang itu mahu mengancam atau mahu menikam orang lain, ia hanya simbol semata-mata.

"Malah keris juga tidak boleh dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja," katanya dalam sidang media sempena perhimpunan agung Pemuda MCA pada Ogos 2006.

Dalam perhimpunan agung Umno 2007, Hishammuddin sekali lagi menghunus, mengucup dan menjulang Keris Panca Warisan tanpa menghiraukan bantahan keras dan meluas bahawa ia merupakan simbol 'pergaduhan' yang boleh menimbulkan keresahan antara kaum.

Malah, Khairy selaku naib ketua pergerakan itu mengisytiharkan selagi ada Pemuda Umno, Keris Panca Warisan akan terus dijulang selama-lamanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa sesiapa yang tidak berani menghunus dan menjulang Keris Panca Warisan adalah pengkhianat kepada Melayu dan Umno.

ADS