BERITA

Cabul: Tidak boleh tarik laporan polis sesuka hati

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Apr 2008, 9:07 pagi

Wanita yang membuat laporan polis mendakwa bekas seorang menteri telah mencabulnya, tidak boleh, mengikut undang-undang, menarik balik laporannya itu, kata peguam terkemuka Karpal Singh.

Beliau yang juga pengerusi DAP berkata, seseorang yang membuat laporan polis tidak boleh sesuka hati menariknya melalui surat atau akuan berkanun.

Beliau mengulas tindakan seorang wanita - yang mendakwa dicabul ketika sedang bertugas di sebuah hotel di KL Sentral - menarik balik laporan polis yang dibuatnya itu, selepas menyedari wujud salah faham berhubung kejadian pada 14 April lalu.

Akhbar melaporkan, wanita tersebut turut membuat satu akuan berkanun bagi menjelaskan situasi tersebut.

Laporan itu memetik peguam Datuk Muhammad Shafee sebagai berkata, akuan tersebut telah dihantar kepada peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Katanya, wanita itu juga mengaku mengenali bekas menteri itu sejak lima tahun lalu dan sepatutnya telah biasa dengan cara individu berkenaan.

Risiko laporan palsu

Mengulas lanjut mengenainya, Karpal berkata, seseorang yang membuat laporan polis, berisiko membuat laporan palsu. Dia adalah terikat dengan kandungan laporannya.

"Polis mesti menyiasat laporan wanita itu walaupun dia telah menariknya balik," katanya dalam satu kenyataan hari ini

"Jika laporan terhadap bekas menteri itu didapati benar, maka polis tiada pilihan tetapi mesti mengambil tindakan terhadap bekas menteri itu kerana mencabul wanita tersebut - satu kesalahan serius mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman sehingga 10 tahun penjara atau disebat, atau kedua-duanya sekali.

"Sebaliknya, jika siasatan polis mendapati kandungan laporan itu palsu, maka wanita itu mesti didakwa kerana memberi maklumat palsu kepada polis yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

"Saya menggesa pihak polis supaya menjalankan siasatan mendalam bagi menentukan kebersalahan bekas menteri tersebut terhadap dakwaan mencabul wanita itu atau kebersalahan wanita tersebut memberi maklumat palsu kepada polis," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.