Umno bahagian Cheras mahu pengerusi badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Zulhasnan Rafique digantikan ekoran kekalahan teruk Barisan Nasional di Wilayah Persekutuan dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Al Hasbshee berkata, setiausaha agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor perlu dilantik menggantikan Zulhasnan.

"Dia (Zulhasnan) perlu disalahkan ekoran kekalahan buruk calon BN di Wilayah Persekutuan. Zulhasnan perlu bertanggungjawab.

"Lihat pilihanraya umum 2004, Tengku Adnan menjadi pengerusi BN Wilayah, kita dapat sembilan kerusi Parlimen, tetapi kini tinggal tiga sahaja.

"Kita cadang Tengku Adnan dikembalikan jawatan sebagai ketua perhubungan Umno dan pengerusi BN wilayah Persekutuan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan khas (EGM) bahagian itu hari ini.

Zulhasnan menjadi ketua perhubungan Umno dan pengerusi BN Wilayah Persekutuan dalam rombakan pada 2006. Sebelum itu ia disandang oleh Tengku Adnan.

Desakan supaya Zulhasnan digantikan dengan Tengku Adnan merupakan satu daripada 15 resolusi mesyuarat EGM bahagian Cheras.

Antara resolusi lain ialah menghapuskan sitem kuota dalam pemilihan parti dan pemilihan jawatan tertinggi dalam parti dibuat di peringkat bahagian dan bukannya dalam perhimpunan agung seperti yang diamalkan sekarang.

Tidak hantar wakil

Semasa berucap, Syed Ali juga menyindir tindakan badan perhubungan Umno Wilayah Persekutuan yang tidak menghantar wakil menghadiri EGM Cheras hari ini.

"Kenapa ni? Kenapa takut hendak hendak hantar wakil" katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Syed Ali juga medakwa, Zulhasnan telah bertindak memanggil semua ketua Umno bahagian di Wilayah Persekutuan kecuali Cheras, untuk menyatakan sokongan kepada menteri Wilayah Persekutuan itu.

Katanya, Umno bahagian Cheras sebelum itu menghantar resolusi kepada presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta supaya menggantikan Zulhasnan dengan Tengku Adnan.

Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya belum menerima sebarang jawaban mengenai perkara tersebut.

"Semua ketua Umno yang dipanggil Zulhasnan itu telah menandatangani surat menyatakan sokongan kepadanya tetapi ahli Umno dan ketua Umno Cheras mahu beliau digantikan," kata Syed Ali lagi.

Syed Ali berkata, satu kerusi yang dimenangi oleh Umno di Wilayah Persekutuan adalah kerana bantuan undi pos.

"Jika tiada undi pos, kita ranap," katanya tanpa menyebut nama kerusi terbabit.

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini