Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua bahagian Umno Seremban akan menemui Badan Pencegah Rasuah (BPR) berhubung dakwaan salah guna kuasa menteri besar Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Hassan dalam pelantikan adik-beradiknya sebagai ahli pihak berkuasa tempatan.

Datuk Ishak Ismail akan membuat laporan tersebut di pejabat BPR negeri di Seremban kira-kira jam 8.30 pagi esok.

"Ia membabitkan kes Datuk Azman dan Datuk Abdul Ghani yang dilantik sebagai ahli majlis Majlis Perbandaran Nilai (MPN) dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) pada 2004 dalam satu mesyuarat exco kerajaan negeri yang dipengerusikan Mohamad.

"Saya yang hadir sama sebagai salah seorang exco terkejut kerana Mohamad yang mempengerusikan mesyuarat tersebut, yang antara lain untuk melantik abang dan adiknya menjadi ahli majlis MPN dan MPS.

"Sepatutnya beliau sebagai menteri besar tidak boleh berada dalam mesyuarat itu kerana ia membabitkan kepentingan adik-beradiknya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bekas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng itu berkata, pada 2004, Mohamad telah mempengerusikan satu mesyuarat exco untuk menyokong pelantikan Azman dan Abdul Ghani.

Ishak digugurkan daripada mempertahankan kerusi negeri itu dalam pilihanraya umum lalu setelah tiga penggal menjadi wakil rakyat.

Ketua bahagian itu seterusnya mendakwa, laporan BPR terhadap Mohamad mengenai perkara tersebut telah dibuat oleh pihak lain tetapi, dakwanya lagi, BPR telah menutup kes tersebut atas arahan Pejabat Peguam Negara.

"Jadi saya mahu BPR siasat adakah benar dakwaan Pejabat Peguam Negara yang mengarahkan BPR menutup kes tersebut," katanya.

Ishak menambah, beliau mahu kes ini dibuka semula supaya orang ramai dapat mengetahui kedudukan sebenar perkara tersebut.

ADS