BERITA

Ahli 'ajar' pemimpin Umno dalam p'raya

Diterbitkan
Dikemaskini 28 Apr 2008, 8:46 pagi

Mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ramai pemimpin Umno menemuinya selepas pilihanraya umum lalu dan mengatakan presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi patut berundur.

"Tetapi apabila tibanya mesyuarat Majlis Tertinggi, tiada siapa pun yang berani membangkitkan isu ini kerana takut dituduh tidak menghormati presiden dan parti.

mahathir hulu langat 120408 press conference "Jadi presiden tidak akan mendapat maklumat yang sebenarnya, tetapi hanya yang sedap didengar telinganya (presiden)," tulisnya dalam kolum - ' Che D.E.T Menulis - keluaran terbaru tabloid politik - Era Baru .

Sehubungan itu Dr Mahathir mengulangi cadangannya supaya ditubuhkan majis penasihat presiden.

Sebelum ini, setiausaha agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor dilaporkan menolak cadangan tersebut dengan alasan Umno sudah ada biro politik dan jawatankuasa pengurusan parti yang masing-masing dipengerusikan oleh Abdullah dan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tengku Adnan juga dilaporkan berkata beliau juga tidak faham dengan cadangan tersebut.

Mengulas perkara tersebut, Dr Marathir berkata, jika tidak faham kenapa tergesa-gesa menolaknya.

‘Kerana takut'

"Apakah ahli biasa Umno tidak layak lagi untuk memberi apa-apa pandangan?

"Adakah yang layak dan pandai hanya presiden, timbalan presiden, naib presiden, setiausaha agung dan ahli majlis tertinggi sahaja?" soal Dr Mahathir.

Katanya, inilah masalah Umno dan kepimpinan parti yang ada sekarang di mana pemimpin dan ahli tidak lagi boleh menyuarakan apa-apa pendapat melainkan sokongan terhadap presiden parti.

"Sesiapa yang menyuarakan pendapat yang berlainan, atau membantah apa-apa keputusan, maka dia akan diherdik dan dicerca seluruh barisan kepimpinan Umno di dalam media massa, dihadap ke jawatankuasa disiplin," katanya.

Kerana takut, tambahnya, tidak ada mana-mana ahli pun yang bersuara.

"Tidak ada ahli yang menegur walaupun mereka sedar kepimpinan parti sudah jauh menyimpang dari perjuangan asal Umno.

"Ahli yang tidak puashati berdiam diri dan protes secara senyap.

‘Ajar pemimpin'

"Pada pilihanraya baru-baru ini, ahli Umno yang tidak puashati, tidak bersuara. Sebaliknya apabila mengundi, mereka undi parti lawan kerana protes dan hendak 'ajar' kepimpinan parti," kata Dr Mahathir.

Katanya mereka berbuat demikian kerana hendak tunjuk yang mereka sudah benci dengan kepimpinan Umno.

Akibatnya, kata beliau, Umno dan Barisan Nasional (BN) jatuh di empat negeri, tidak berupaya menawan Kelantan dan 'rebah' di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"Walaupun menang di Perlis dan Terengganu, kepimpinan Umno, khususnya presiden parti ditolak Raja-Raja Melayu di kedua-dua negeri ini apabila istana dengan cara terbuka menolak calon menteri besar cadangan perdana menteri.

"Di Johor, usaha usaha (untuk) tukar menteri besar ditolak istana awal-awal lagi sebelum pun diadakan pilihanraya.

"Umno, khususnya presiden Umno ditolak oleh oleh ahli Umno, rakyat biasa serta Raja-Raja Melayu," tambahnya.

Mengenai majlis penasihat itu, Dr Mahathir berkata, ia perlu kerana ahli parti tidak boleh percaya kepada satu individu sahaja, dengan memberi kuasa yang begitu besar kepada individu tersebut.

‘Semak dan imbang'

Pada dasarnya, jelas beliau, ia bertujuan bertindak sebagai badan yang diberi kuasa bermusyawarah dan meluluskan keputusan yang diambil presiden.

"Ini bagi mengelak salahguna kuasa oleh individu yang berkepentingan. Walaupun kita sudah ada majlis tertinggi dan pelbagai biro, tetapi anggotanya terdiri daripada orang yang dilantik di kalangan yang berjawatan dalam parti.

"Sudah tentu mereka tidak berani menegur. Oleh itu, majlis pensihat ini mungkin boleh dianggotai golongan profesional dan ahli Umno yang berwibawa tetapi bukan dari kalangan mereka yang dilantik oleh bahagian supaya ia dapat berfungsi secara bebas," tambahnya.

Dr Mahathir berkata,mungkin juga pindaan perlembagaan Umno diperlukan untuk mengikat keputusan presiden parti kepada majlis penasihat agar terdapat ‘semak dan imbang' dalam urusan pentadbiran.

Dengan itu, katanya, presiden tidak boleh melakukan pelbagai perkara dengan sewenang-wenangnya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.