Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

eksklusif Pergeseran kenyataan antara beberapa tokoh politik pembangkang berhubung agenda negara Islam PAS dalam Pakatan Rakyat menunjukkan politik golongan tua yang suka melenting dan kurang berbincang, kata seorang ahli parlimen wanita PAS.

Sambil menegaskan "perang mulut" itu tidak akan menjejaskan kerjasama antara tiga parti pembangkang itu, Dr Siti Mariah Mahmud berkata:

"Isu ini kadang-kadang jadi (persoalan) peribadi. Orang tertentu saja yang suka sambut-menyambut dalam kes ini. Generasi baru, kami lebih suka berbincang," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini , Sabtu lalu.

"Pertama, bila kita dengar sesuatu, kita mesti dapat penjelasan. Kita tidak akan dengar dan terus melenting dan membuat keputusan.

"Kita telah faham mengenai komunikasi, bagaimana kita patut berunding cara. Ini adalah pengurusan jenis baru, lebih progresif."

dr siti mariah interview 300408 04 Sejurus selepas Pakatan Rakyat diumumkan 1 April lalu, beberapa pemimpin kanan PAS dan DAP terlibat dalam perang kenyataan melalui media selepas timbalan menteri besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, dilaporkan mahu menjadikan parti Islam sebagai "tunjang pakatan" ke arah menubuhkan sebuah negara Islam.

Dua tokoh utama DAP Karpal Singh dan Lim Kit Siang kemudian menjawab isu tersebut yang mengundang reaksi negatif beberapa lagi pemimpin kanan PAS, termasuk mursyidul am Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dan menteri besar Kedah, Azizan Razak.

Isu negara Islam PAS pernah menyebabkan DAP menarik diri daripada pakatan pembangkang pada 2001.

Dalam wawancara di di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Dr Siti Mariah juga berkata pemimpin-pemimpin kanan boleh juga melakukan keputusan atau kenyataan yang salah tetapi mereka akan tetap dihormati.

"Mereka bukan maksum dan sempurna. Tidak semestinya mereka lebih pengalaman dan banyak berjasa, mereka tidak membuat silap," katanya.

"Oleh kerana kami masih menghormati dan menghargai mereka, jadi kami anggap, macam sebuah keluarga. Kalau ibu bapa kita buat silap, mereka tetap ibu bapa kita."

Mengulas kontroversi projek penternakan babi, beliau berkata isu-isu lain seperti amalan rasuah, meminum arak dan mengambil riba lebih patut diutamakan berbanding isu babi.

"Saya masih boleh menyokong (projek itu) sebab kita melihat isu babi bukan isu agama. Babi haram dimakan, tetapi bagi orang bukan Islam itu adalah hak mereka.

"Kalau kita mahu membuat bising (hal ini), isu rasuah kita patut bising lebih lagi. Isu rasuah tidak ada kelonggaran dalam Islam. Arak, ... riba tidak ada kelonggaran dalam Islam.

"Tetapi babi ada kelonggaran (hukum rukhsah dalam fekah). Kalau kita tidak ada makanan, babi boleh dimakan," katanya.

Ditanya isu perpindahan wakil rakyat BN kepada pakatan pembangkang bagi menumbangkan kerajaan persekutuan, Dr Siti Mariah berkata BN tidak layak mengulas tindakan ini "tidak beretika" atau sebaliknya.

"Jangan cakap tentang etika, mereka tidak ada asas untuk bercakap (tentang) etika. Sebelum ini, berapa banyak lompat-melompat berlaku, di Sabah, di Sarawak. Jadi apabila orang mereka mahu melompat kepada PKR, ke Pakatan (Rakyat), oh, (tindakan) ini tidak beretika. Tiba-tiba mereka jadi baik," katanya.

Bagaimanapun, jelasnya lagi, beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan langkah memujuk ahli-ahli parlimen BN menyertai Pakatan kerana ada kecurigaan terhadap mereka dalam kalangan ahli PAS.

Berikut sedutan wawancara dengan beliau :

Malaysiakini: Bagaimana dengan perang mulut dalam Pakatan Rakyat tentang isu negara Islam?

Dr Siti Mariah : Saya ingat generasi muda yang membuat perubahan baru-baru ini. Generasi tua, yang senior, veteren, ahli politik yang senior ini kadang-kadang....

Generasi muda yang mahu hidup sebagai bangsa Malaysia sudah boleh memahami isu-isu ini. Dan perang mulut seperti ini bagi kami tidak menjejaskan Pakatan Rakyat.

Isu ini kadang-kadang jadi (persoalan) peribadi. Orang tertentu saja yang suka sambut menyambut dalam kes ini. Generasi baru, kami lebih suka berbincang.

dr siti mariah interview 300408 03 Pertama, bila kita dengar sesuatu, kita mesti dapat penjelasan. Kita tidak akan dengar dan terus melenting dan membuat keputusan. Kita telah faham mengenai komunikasi, bagaimana kita patut berunding cara. Ini adalah pengurusan jenis baru, lebih progresif.

Bagi saya, rakyat sendiri sedia maklum macam mana Lim Kit Siang dua kali membuat kesilapan apabila beliau meminta bebaskan (tahanan ISA) hanya lima orang sahaja daripada Badan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf).

Bagaimana dengan (tahanan) ISA yang lain?

Kita berjuang untuk semua. Kemudian timbul isu tidak mahu (menyertai majlis) angkat sumpah (menteri besar baru Perak), kemudian diselamatkan dengan isu (pelantikan menteri besar) Terengganu.

Apakah salah faham (antara) generasi lama ini boleh diselesaikan atau tidak?

Saya tidak mahu ulaslah perkara itu. Pemimpin yang sudah veteran ini kita hormati kerana jasa dan pengalaman mereka. Tetapi mereka bukan maksum (tidak melakukan kesilapan) dan sempurna. Tidak semestinya mereka lebih pengalaman dan banyak berjasa, mereka tidak membuat silap.

Oleh kerana kami masih menghormati dan menghargai mereka, jadi kami anggap, macam sebuah keluarga. Kalau ibu bapa kita buat silap, mereka tetap ibu bapa kita.

Mereka pemimpin kita yang telah lama berkorban, telah lama berjuang. Bagi saya, di peringkat ini kami sudah nampak cahaya hujungnya.

Mereka dulu terpaksa mengharungi perjuangan yang amat pahit - batu, kayu, duri di tengah jalan. Terpaksa ubah. Jalan pun tidak nampak. Jadi tentulah kepahitan yang dulu itu masih ada.

Tidak mudah untuk mereka melupakan dan memaafkan kerana masih ingat lagi (peristiwa lama). Sebab itu kita lihat antara Umno dan PAS pun, cerita lama itu akan didendang-dendangkan.

Politik dulu mungkin ekstrem dan fanatik. Tapi politik sekarang politik yang lebih bertolak ansur. Saya melihat masa depan, kita dengan terbuka boleh menyokong parti lawan apabila idea yang dikemukakan itu baik. Dan kita tidak mahu membantah sekadar hendak membantah, membangkang sekadar hendak membangkang.

Kita berpolitik demi kebaikan rakyat Malaysia walaupun ideologi-ideologi kita berlainan. Tetapi ada banyak persamaan dan pertindahan. Semua kita adalah rakyat Malaysia. Cuma (bezanya) pendekatan kita.

Umno dengan caranya yang sudah lama berkuasa. Jadi, perkara yang tidak elok, kita tolaklah.

Dr Mariah setuju kalau dikatakan sekarang masanya kemunculan generasi baru, ahli politik muda yang membawa idealisme yang lebih ke depan?

Ya, saya ingat ada perubahan cara pemikiran. Masyarakat kita sudah berubah. Kalau kita tengok masyarakat 30 tahun dulu, lain. Masyarakat sekarang, lain.

Dan kita juga melihat bahawa golongan veteran masih tidak dapat berubah. Ia berada di tahap lama. Sebab itu, saluran satu (di tempat pembuangan undi) kita kalah.

Saya ada 30 lebih saluran (dalam parlimen Kota Raja). (Di) sepuluh saluran, saya kalah. Tetapi (kalah) sikitlah, tidak banyak, kerana (saluran) itu daripada golongan tua.

Ulasan Dr Siti Mariah tentang kontroversi penternakan babi?

Isu babi banyak diputarbelitkan. Kita tengok bagaimana Utusan Malaysia memainkan isu ini. Kalau kita tengok Sinar Harian , lain pula ceritanya. Sinar Harian mendedahkan daripada A ke Z. Orang Selangor sendiri sudah tahu - ada penerangan, ada risalah daripada sekretariat Pakatan Rakyat untuk menerangkan isu babi.

dr siti mariah interview 300408 02 Tetapi masalahnya orang-orang Melayu di negeri-negeri lain yang capaian maklumat mereka amat rendah. Mereka hanya bergantung kepada televisyen dan juga Utusan Malaysia .

Kalau mereka mendengar cerita dari mula, jelas projek itu diluluskan di zaman (Datuk Seri Dr Mohamad) Khir Toyo. Mereka sudah membuat kajian dan sebagainya. (Kerajaan baru) Selangor hanya menyambung (projek itu).

Kalaupun kerajaan (Pakatan) sekarang yang meluluskan, saya masih boleh menyokong sebab kita melihat isu babi bukan isu agama. Babi haram dimakan, tapi bagi orang bukan Islam itu adalah hak mereka.

Kalau kita nak bising (hal ini), isu rasuah kita patut bising lebih lagi.

Isu rasuah tidak ada kelonggaran dalam Islam. Arak tidak ada kelonggaran dalam Islam. Riba tidak ada kelonggaran dalam Islam. Tapi babi ada kelonggaran. Kalau kita tidak ada makanan, babi boleh makan.

Jadi orang kita sudah salah tumpuan. Benda yang tidak mutlak haram, mereka telah jadikan isu. Jadi, melihat pada kepentingan masyarakat, babi perlu diternak secara moden (dan mesra alam). Pencemaran alam sekitar yang berlaku sekarang ini - sungai, parit, sumber air, bau busuk, kita suka seperti itu?

Adakah faktor emosi orang Melayu dimainkan dalam isu ini?

Orang Melayu dari kecil diajar bahawa makan babi itu haram. Dia boleh minum arak, tetapi dia tidak akan makan babi. Dia boleh tidak sembahyang tetapi babi dia tidak makan. Itu masalahnya, kita ini sudah silap.

Seterusnya tentang isu lompat parti, secara peribadi Dr Siti Mariah bersetuju atau tidak dengan tindakan ini? Ada kritikan daripada BN, misalnya tindakan ini tidak beretika.

Ia tidak layak bercakap soal etika. Tapi secara peribadinya, kita mahu membina (peribadi) ahli politik yang beretika. Saya sendiri tidak bersetuju mereka yang melompat parti.

Tetapi dalam politik, alasan-alasan bagi mereka yang hendak melompat (parti) disebabkan mereka tidak nampak kehadiran mereka dalam BN dapat membela rakyat.

Contohnya di Sabah dan Sarawak. Antaranya kita tidak sedar yang sebenarnya Jabatan Pembangunan Pusat (JPP) yang BN perkenalkan sewaktu PBS menang dulu (mentadbir Sabah) masih kekal. Sekarang, mereka minta ia mansuhkan. Maknanya, (kerajaan) pusat sendiri tidak beretika, melanggar etika federalisme dan negeri.

(Kerajaan) pusat sendiri telah melanggar etika federalisme ini sudah lama. Jadi rupa-rupanya mereka menurunkan dana persekutuan melalui JPP - padahal sesama parti BN (kerajaan pusat dan negeri).

dr siti mariah interview 300408 04 Di Kelantan, sudah lama BN buat begitu. Terengganu (mulai pentadbiran PAS 1999-2004) juga sudah nyata.

Walaupun secara peribadinya saya tidak bersetuju (wakil rakyat lompat parti), tetapi apabila kita bercakap soal politik, kita bercakap tentang kesejahteraan negara. Kita bercakap tentang apa yang perlu kita lakukan sekarang.

Orang kata, pada masa lepas kita (pembangkang) sering berbuat baik. Orang kata kalau jenis musuh (BN) yang tidak boleh diambil kira (buat berunding) - hari ini cakap lain, esok cakap lain.

Masa ia sedang lemah tu, masa itulah kita bantai biar mati terus . Saya minta maaf, saya kena cakap benda ni. Secara politiknya begitulah.

Sebelum ni, tengok apa yang mereka (BN) kata. Mereka mahu pembangkang sifar (di Selangor). Mereka seolah-olah tidak mahu (kewujudan) pembangkang langsung. Kita bukan hendak pembangkang sifar. PAS dan PKR kata, kami mahu pembangkang dan dalam jumlah yang baik, bukan hanya bilang dengan jari tidak sampai sepuluh (wakil rakyat). Kita mahu demokrasi hidup.

Mereka awal-awal lagi hendak sapu bersih Kelantan (daripada PAS).

Jadi, jangan cakap soal itu (etika). Jangan cakap tentang etika, mereka tidak ada locus standi untuk bercakap (tentang) etika.

Tentang isu lompat lagi, kenapa isu ini kedengaran daripada PKR, kurang kedengaran daripada DAP dan PAS?

Ahli PAS sendiri agak curiga dengan orang (yang suka) lompat-lompat. Mereka tidak boleh menerima orang melompat masuk parti (PAS) kerana kita hendak orang menyertai kita memahami perjuangan kita dan bukan atas kepentingan-kepentingan lain.

Apa yang dia dapat dengan masuk PAS? DAP pun serupa.

PKR pula saya nampak - oleh kerana mereka lebih pelbagai kaum, lebih (mudah) diterima (ramai) dan (berdepan) stigma macam kami (PAS) ini Islam, DAP itu Cina. PKR, orang kata, mewakili pelbagai kaum.

Oleh kerana Datuk Seri Anwar (Ibrahim) sendiri mempunyai banyak talian dengan orang Umno. Beliau pernah menjadi pemimpin negara. Beliau mengenali mereka secara peribadi - itu kekuatan beliau.

>>> Bahagian pertama Mitos PAS untuk kawasan Melayu


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS