BERITA

Pemuda Umno buat laporan polis terhadap Karpal

Diterbitkan
Dikemaskini 5 Mei 2008, 2:42 tengahari

Pemuda Umno Perak hari ini membuat laporan polis terhadap Pengerusi DAP Karpal Singh yang menyatakan bahawa Sultan Perak tidak mempunyai kuasa berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury.

Ketuanya, Zainol Fadzi Paharudin berkata beliau membuat laporan itu supaya polis menyiasat dan meminta Karpal Singh tidak lagi mengeluarkan kenyataan berbau hasutan.

karpal singh "Kita meminta polis menyiasat Karpal Singh (foto) di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan itu telah meresahkan rakyat Perak, khususnya berhubung dengan kuasa Sultan Perak," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di Ipoh hari ini.

Menurut laporan Bernama, sebuah akhbar berbahasa Inggeris telah memetik Karpal Singh sebagai berkata bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa menyekat keputusan kerajaan negeri untuk menukar Jamry, dan baginda tidak boleh meminta agar Jamry dilantik balik ke jawatannya setelah diarah bertukar oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Jamry diarah bertukar oleh Mohammad Nizar pada 29 April kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama. Jumaat lalu, Sultan Azlan Shah menitahkan pertukaran itu ditarik balik kerana tindakan Menteri Besar menukarnya serta merta pada Selasa lalu membelakangkan baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri itu.

GPMS bidas Karpal

Sementara itu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membidas sikap pemimpin DAP yang mempersoalkan peranan dan fungsi Istana Perak berhubung jawatan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Sambil menyifatkan DAP gagal memahami sensitiviti orang Melayu, GPMS mahu parti itu berhati-hati dalam membuat kenyataan supaya tidak menimbulkan kemarahan mana-mana pihak.

reezal merican naina merican Presiden GPMS Datuk Reezal Naina Merican berkata Pengerusi DAP Karpal Singh dan Ketua DAP Perak Ngeh Koo Ham seharusnya mengikuti jejak Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menghadap Sultan Perak dan memohon ampun terhadap kenyataan mereka.

Permohonan maaf itu akan meredakan kemarahan rakyat dengan permainan politik biadap dan berunsur hasutan, kata Reezal dalam satu kenyataan hari ini.

GPMS turut berpendapat, DAP perlu menghentikan amalan politik perkauman dan bersifat hasutan sehingga berani mempersoalkan hak dan kuasa Sultan.

Sementara itu, Karpal terus mempersoalkan tindakan Sultan Azlan Shah yang dikatakan campurtangan dalam soal pertukaran Pengarah Jaip Datuk Jamry Sury.

"Dalam satu kes di Mahkamah Persekutuan pada 1982, jelas menunjukkan kakitangan awam termasuk kerajaan pusat boleh menukar, bila dan ke mana dan dalam apa juga kapasiti adalah kuasa kerajaan negeri," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu berkata kerajaan Perak tidak sepatutnya dipengaruhi Istana dan Kerajaan Pusat perlu memastikan bahawa Sultan dilarang campurtangan dalam urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Jamry diarah bertukar oleh Mohammad Nizar pada 29 April kerana didakwa tidak boleh memberi kerjasama. Jumaat lepas, Sultan Azlan Shah menitahkan pertukaran itu ditarik balik kerana tindakan Menteri Besar menukarnya serta merta pada Selasa lalu membelakangkan baginda sebagai Ketua Agama Islam negeri itu.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.