Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pengendali lamanweb Malaysia Today , Raja Petra Kamaruddin, yang didakwa atas tuduhan menghasut dan ditahan di penjara Sungai Buloh kerana enggan membayar ikatjamin, menjadi tumpuan perbahasan di Dewan Rakyat hari ini.

raja petra court case 060508 lim kit siang Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur), ketika membahaskan titah diraja, mengkritik timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwanya "telah menyalahguna undang-undang" menyebabkan Raja Petra dituduh menghasut.

Raja Petra menyiarkan dalam lamanwebnya artikel bertajuk 'Let's send the Altantuya murderers to hell' , yang didakwa mengaitkan Najib dan Rosmah dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Lim berkata, tindakan cepat oleh pihak polis dan seterusnya pendakwaan (terhadap Raja Petra) seperti langkah yang diatur dan satu penyalahgunaan undang-undang dan jentera kerajaan untuk menghukum Raja Petra.

Menurutnya, Najib dan Rosmah berhak membersihkan nama mereka melalui undang-undang.

Oleh itu, Lim mempersoalkan mengapa mereka menggunakan kemudahan kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap Raja Petra Kamaruddin, yang menurut Lim, satu penyalahgunaan kuasa.

Menurut pemimpin DAP itu lagi, terdapat banyak saluran bagi timbalan perdana menteri dan keluarganya untuk mengambil tindakan terhadap Raja Petra - melalui tindakan sivil dan litigasi - bukannya melalui dakwaan menghasut.

Reaksi penyokong BN

Lim juga mendakwa jentera kerajaan, dalam bentuk Pejabat Peguam Negara, telah digunakan untuk tujuan tersebut.

Ini, tegasnya merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan sebab itulah, tambahnya, tindakan terhadap Raja Petra itu mesti dikritik sekeras-kerasnya.

Bagaimanapun, penyokong Barisan Nasional mengkritik pemimpin veteran DAP itu kerana membuat andaian bahawa Najib dan Rosmah adalah di sebalik tindakan polis terhadap Raja Petra.

Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menggesa Lim supaya lebih ‘bertanggungjawab' dan tidak bercakap mengenai perkara yang kini dalam bidangkuasa mahkamah.

raja petra court case 060508 stumped Katanya, tindakan terhadap Raja Petra adalah wajar kerana beliau mengapi-apikan rakyat terhadap seorang pemimpin kanan kerajaan.

Dr Puad kemudiannya bertanya kepada Lim sama ada beliau percaya dengan apa yang ditulis oleh Raja Petra itu.

Tindakan sivil

Lim, bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu membahaskan menyentuh kandungan tulisan Raja Petra itu.

Selain menggesa Najib mengambil tindakan sivil untuk membersihkan namanya dan nama isterinya, Lim juga menggesa supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan bagi menentukan sama ada dan setakat mana, pemimpin kerajaan terbabit dalam kes pembunuhan Altantuya.

Kata Lim, antara persoalannya ialah sama ada Peguam Negara, Abdul Gani Patail telah bertindak melebihi kuasanya sebagai seorang pegawai mahkamah.

"(Kerajaan) perlu menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan diraja untuk menyiasat pembunuhan berprofail tinggi itu bagi membersihkan nama baik negara," katanya.

Lim sebelum itu membidas Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang menyoalnya mengenai penggunaan berulangkai perkataan ‘hell' (neraka) oleh Raja Petra.

Soalan Khairy

Khairy bertanya kepada Lim sama ada beliau bersetuju bahawa satu-satunya yang menentukan sama ada seseorang itu ke syurga dan neraka adalah Tuhan dan bukannya manusia.

Lim, dengan nada tinggi menjawab bahawa beliau bukan bercakap tentang agama.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan satu ekspresi bahawa sesiapa yang membunuh Altantuya mesti dihukum seberat-beratnya, dan bukannya mengenai soal ke syurga atau neraka.

Lim menambah, jika (Khairy) tidak dapat memahaminya, maka tiada maknanya beliau (ahli parlimen Rembau) itu menjadi lulusan Oxford dan memalukan universiti tersebut.

Jawapan Lim itu mencetuskan suasana kecoh dalam apabila ahli parlimen dari kedua belah pihak melaung antara satu sama lain.

Isu Balqis

Dalam satu lagi isu berkaitan, Lim mempersoalkan mengapa polis memanggil editor akhbar TheSun - Terence Fernandez dan R Nadeswaran - untuk membantu siasatan terhadap laporan mereka mengenai kontroveri membabitkan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Selangor (Balkis).

Fernandez dan Nadeswaran telah menulis satu siri laporan mengenai pembubaran Balqis - sejurus selepas Pakatan Rakyat menang di Selangor dalam pilihanraya umum 8 Mac - dan mengenai pemindahan RM9.9 juta dana persatuan tersebut.

Beliau bertanya sama ada mereka disiasat oleh polis dan menambah perlunya digalakkan kewartawan berbentuk siasatan dan bukannya kewartawan yang mengampu sahaja.

Katanya, orang yang patut disiasat bukannya Nadeswaran dan Terence tetapi menurutnya ialah bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo dan isterinya.

Berita asal

ADS