BERITA

Elaun ketua kampung di Perak hanya RM200

Diterbitkan
Dikemaskini 7 Mei 2008, 11:44 tengahari

Seramai 817 ketua kampung di Perak kini akan hanya menerima elaun bulanan RM200 dari kerajaan negeri tanpa elaun tambahan RM400 sebulan dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Dengan itu, katanya, jawatan ketua kampung tidak lagi menjadi rebutan seperti sebelum ini disebabkan ganjarannya, sebaliknya jawatan itu akan diisi oleh mereka yang benar-benar jujur untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Katanya, ketua kampung yang baru juga tidak lagi akan dibenar melaksanakan sendiri pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing seperti sebelum ini, demikian menurut laporan Bernama.

"Projek-projek ini akan dilaksanakan mengikut kaedah-kaedah tertentu dan bukannya diserahkan kepada ketua kampung untuk melaksanakan dan menentukan kontraktor mana nak buat. Jadi, ketua kampung tidak mempunyai banyak projek untuk mereka melaksanakannya seperti sebelum ini.

"Itu sebab dulunya jawatan ketua kampung itu dicemburui, orang nak (jawatan) ketua kampung tapi di sini konsep ketua kampung itu adalah satu amanah, bukan banyak sangat ganjaran," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Ipoh hari ini.

Semasa Perak dikuasai Barisan Nasional sebelum ini, ketua kampung turut menerima elaun bulanan RM400 yang dibayar oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah selain elaun bulanan RM200 yang dibayar oleh kerajaan negeri.

Mohammad Nizar berkata mesyuarat exco hari ini turut membuat keputusan meminta Pejabat Tanah dan Galian Perak membekukan serta-merta pemberian geran hak milik kepada mana-mana individu atau syarikat yang memohon kawasan tanah yang telahpun diterokai oleh pihak lain sejak lama dulu.

Beliau berkata keputusan itu diambil setelah kerajaan negeri mendapati terdapat unsur diskriminasi dan ketidakadilan dalam keputusan memberikan geran hak milik sedemikian oleh kerajaan sebelum ini.

"Bukan bermakna kita bersetuju dengan penerokaan (haram) tetapi sekurang-kurangnya kita akan mengkaji setiap kes itu satu per satu," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.