Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengarahkan setiausaha agung Umno, Datuk Tengku Adnan Mansor supaya membuat aduan polis terhadap pengerusi DAP, Karpal Singh yang mempersoalkan kuasa Sultan Perak dalam pentadbiran negeri tersebut.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sebelum ini mempersoalkan kuasa Sultan Perak khususnya dalam kes pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) Datuk Jamry Sury.

abdullah ahmad badawi pm mihas halal convention 080508 03 Bercakap kepada pemberita di ibunegara petang ini, Abdullah berkata, kenyataan Karpal itu mempunyai unsur-unsur hasutan

"Saya telah memberitahu Tengku Adnan supaya membuat aduan di balai polis supaya dibawa kepada Peguam Negara dan mahkamah mengenai Karpal Singh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "Mihas Showcase 2008" di Tapak A, Pameran Mihas, Matrade di ibunegara hari ini.

(Tengku Adnan telah membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 5 petang tadi).

Abdullah berkata, beliau juga diberitahu bahawa yang lain lagi - bukan sahaja orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu - membuat laporan polis yang sama.

Katanya, mereka membuat laporan tersebut kerana merasa tersinggung dan marah terhadap kenyataan Karpal Singh yang telah menimbulkan kemarahan ramai orang.

Menurut laporan, Karpal mendakwa arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang dan sepatutnya keputusan terdahulu kerajaan negeri mengarahkan pertukaran Jamry dikekalkan.

"(Kenyataan) Karpal itu dilihat oleh rakyat sebagai menghina Sultan, seolah-olah Sultan tidak tahu tugasnya. Ramai rakyat, termasuk Umno marah dengan tindakan tersebut," kata Abdullah.

'Tak halang Najib'

Abdullah juga menafikan kenyataan mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang beliau telah menghalang perjumpaannya dengan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Tak ada halang, tak ada...," kata perdana menteri bila ditanya mengenai kenyataan Dr Mahathir itu.

Semalam, Dr Mahathir berkata, beliau telah cuba untuk mengadakan perjumpaan dengan Najib "sejurus selepas pilihanraya umum" untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan hal ehwal semasa kerana beliau memandang berat terhadap apa yang berlaku dalam Umno.

"Beliau (Najib) kata beliau perlu mendapatkan kebenaran perdana menteri terlebih dahulu. Nampaknya beliau tidak mendapat kebenaran tersebut. Jadi, hingga sekarang, beliau tidak bertemu dengan saya," demikian Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Mengenai isu Raja Petra pula, Abdullah berkata: "Kalau dah langgar undang-undang tentu ada tindakan terhadap Raja Petra. Setelah ada aduan, tentulah tindakan diambil.

"Kita ada undang-undang dan mesti menghormati undang-undang. (Bila) melanggar undang-undang, tentu tindakan diambil terhadap orang itu," tambahnya.

Mengenai kebocoran di parlimen semalam, Abdullah berkata: "Kalau bocor baiki cepat."

ADS