Malaysiakini
Malaysiakini BERITA

Anwar: Dakwa individu kes video Lingam

Jimadie Shah Othman

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan mendakwa mereka yang didapati terlibat dalam skandal kehakiman seperti dirumus oleh suruhanjaya diraja siasatan klip video VK Lingam.

"Perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhasrat melaksanakan reformasi badan kehakiman, maka cadangan suruhanjaya tersebut supaya menyiasat dan mendakwa kalangan yang terlibat dapat dilaksanakan.

"Kami juga ingin memohon penjelasan bersabit laporan suruhanjaya yang mengaitkan isu ketidakadilan pendakwaan dan penghukuman kes-kes tertentu di bawah bidang kuasa suruhanjaya tersebut," katanya di sidang akhbar di pejabatnya petang tadi.

anwar lingam tape aca 221007 Beliau bagaimanapun berkata pendekatan yang diambil untuk mereformasi badan kehakiman sekarang adalah salah.

"Apabila timbul kes Tun Salleh Abbas misalnya, kita siasat kes ini. Apabila timbul kes Lingam, kita siasat kes Lingam. Sampai bila masalah ini akan selesai?

"Bagaimana dengan ribuan kes yang lain? Masalahnya adalah keseluruhan sistem kehakiman itu sendiri," katanya.

Tambahnya, Pakatan Rakyat sedia memberi cadangan penuh untuk reformasi badan kehakiman.

Anwar berkata, amat mendesak sekali untuk kerajaan mengambil tindakan untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman.

"Kerajaan juga mesti memastikan pendakwaan terhadap kes salah laku jenayah yang dilakukan peguam negara bebas daripada gangguan pemerintah," katanya lagi.

Mengulas laporan suruhanjaya itu yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong minggu lalu, Anwar berkata beliau bersedia menyokong perdana menteri jika Abdullah sanggup melaksanakan reformasi lengkap sistem kehakiman.

anwar ibrahim pc 120508 04 "Isunya adalah (sama ada) Abdullah mempunyai keberanian untuk melakukan itu. Saya berharap beliau melakukannya. Saya cakap selepas beliau mengumumkan reformasi kehakiman, kami akan memberinya semua sokongan.

"Bukan sebab kami kerajaan dalam penantian, tetapi kami sedia memberi sokongan yang perlu kepada beliau (Abdullah) dan kerajaan ke arah pentadbiran yang adil," katanya lagi.

Dalam laporan suruhanjaya tersebut, lima ahli panel yang diketuai oleh Tan Sri Haidar Mohamed Noor dilaporkan mencadangkan beberapa individu yang terlibat mengatur pelantikan hakim seperti perbualan dalam klip video itu dikenakan tindakan undang-undang.

Suruhanjaya itu juga dilaporkan telah mengenal pasti salah laku beberapa individu dalam siasatannya yang bermula 14 Januari lalu.

Sementara itu, dalam kenyataannya hari ini, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) meminta kerajaan mengumumkan laporan tersebut sepenuhnya kepada umum kerana ia melibatkan kepentingan dan minat orang ramai.

"Pendengaran kes tersebut dibuat secara terbuka dan hasil pendengaran awam itu yang mengundang minat besar orang ramai patutlah diumumkan.

"Suhakam selanjutnya berpendapat keputusan untuk mengumumkan laporan ini kepada awam mestilah dibuat oleh suruhanjaya diraja itu sendiri," kata timbalan pengerusinya Tan Sri Datuk Seri Panglima Sipaun.

Perdana menteri belum memutuskan untuk mendedahkan dokumen itu sehinggalah beliau mengkajinya.