Masalah dalaman, termasuk pemilihan calon, antara sebab utama Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah teruk dalam pilihanraya umum lalu, kata ketua penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Menteri kemajuan dan pembangunan luar bandar itu berkata, kerana masalah tersebut, ada kawasan yang sepatutnya dimenangi oleh calon BN, telah jatuh ke tangan pembangkang.

mat taib Di tempat-tempat tertentu, katanya, pengundi BN tidak mengundi calon parti itu kerana mereka mahu menghantar isyarat kepada kerajaan.

"Mereka sakit hati, oleh kerana ini hal-ehwal rumah tangga Umno, mereka tidak mahu sokong orang (calon) lain (yang dipilih oleh parti).

"Mood pegundi telah beralih ketika itu. Mereka bukan hendak melihat BN kalah, cuma mahu memberi isyarat, iaitu kalah sedikit sahaja.

"Tetapi kalau tiap-tiap bahagian ada fikiran macam tu, maka BN telah kalah teruk. Keadaan ini luar biasa kerana pada mulanya pengundi mereka (setakat) nak beri isyarat sahaja," katanya dalam temubual dengan Malaysiakini di bangunan Parlimen semalam.

Dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu, BN kalah empat negeri - Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor - selain gagal merampas semula Kelantan yang dimenangi PAS sejak 1990.

Penyokong kecil hati

BN juga hilang majoriti dua pertiga di parlimen apabila hanya menang 140 kerusi berbanding 82 oleh pembangkang.

Muhammad yang juga pengerusi badan perhubungan Selangor, berkata, penyokong Umno berasa kecil hati dan kerana itu telah menolak Umno dalam pilihanraya lalu.

"Tetapi mereka bukan tidak suka parti (Umno), cuma mood telah beralih ke pembangkang.

"Sebab itu saya kata pembangkang menang bukan kerana mereka popular tetapi kerana faktor penolakan pengundi kepada calon BN yang berlaku ketika itu," katanya lagi.

Bekas menteri besar Selangor itu percaya, trend tersebut hanya untuk sementara kerana selepas pilihanraya umum lalu, sudah ramai ahli parti yang datang berjumpa dengan beliau, menceritakan kejadian ketika itu.

Mereka memberitahu apa yang berlaku ketika itu sehingga menyebabkan mereka tidak mengundi calon-calon BN, kata Muhammad lagi.

"(Jadi) pembangkang jangan terlalu ghairah kerana fenomena ini hanya sementara. Umno dan BN akan bangkit semula kerana mereka (penyokong) sudah kembali semula kepada BN," katanya lagi.

Rakyat sokong BN

Muhammad berkata, jika tidak berlaku penolakan tersebut, BN akan menang 14 kerusi parlimen lagi dan 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) lagi di Kedah, Perak dan Selangor.

Katanya, rakyat tidak sokong pembangkang, tetapi mereka masih tetap menyokong keadilan BN dalam mengurus negara seperti dalam bidang ekonomi dan pelajaran.

Sementara itu, bekas menteri besar Selangor itu juga mengulas mengenai kenyataan-kenyataan oleh ahli parlimen BN dari Sabah dan cerita mengenai lompat parti.

Salah seorang yang lantang memperjuangkan hak-hak itu ialah ahli parlimen Kalabakan, Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh.

Bagaimanapun, Muhammad tidak fikir ketua bahagian Umno itu bermaksud ahli parlimen BN di Sabah akan melompat parti seperti yang dihebohkan sekarang.

"Dia bercakap sebagai wakil rakyat Sabah menuntuk hak mereka yang lebih munasabah. Dia memperjuangkan hak Sabah.

"Saya ambil berat pandangan beliau. Orang pembangkang cuba menimbulkan kekeliruan secara berterusan dan serba salah di kalangan BN.

Nafi Umno bertelagah

"Saya yakin kepada ahli parlimen BN. Eloklah mereka suarakan rasa tidak puas hati supaya kerajaan memandang tuntutan mereka. Tetapi hak Sabak dan Sarawak tidak dinafikan," tambahnya.

Dalam tembual tersebut, Muhammad mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana melantik beliau sebagai menteri kabinet dan ketua penerangan Umno.

Katanya, beliau merupakan seorang pekerja parti dan amat patuh kepada parti.

Tetapi, Muhammad tidak mahu bercakap mengenai kritikannya terhadap bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas bekas menteri besar Selangor, Datu Seri Dr Mohd Khir Toyo.

"Saya sudah bercakap sebelum ini, (jadi) saya tidak mahu ulang lagi. Elok fikir untuk kukuhkan parti supaya mendapat semula keyakinan rakyat," tegasnya.

Muhammad juga menafikan Umno dalam keadaan sedang bertelagah sebaimana yang didakwa oleh pihak-pihnk tertentu.

" BN bukan seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan Karpal Singh. Saya tidak nampak prinsip gabungan mereka," katanya lagi.

Menurut Muhammad lagi, apa yang BN lakukan ialah pimpinan berunding dan bermesyuarat secara bersama dan jika tiada persetujuan, akan diperhalusi lagi.

"Saya mengucapkan syabas kepada perdana menteri dan menteri kabinet kerana dalam keadaan yang sukar, dapat membantu golongan yang ketinggalan.

"Dan golongan yang ketinggalan itu ialah orang Melayu. Walaupun kerajaan membantu orang Melayu, kaum lain juga bersetuju," tambahnya.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini