Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) membantah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) dikuasai syarikat asing kerana mereka hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan kepentingan rakyat negara ini.

“Ini kerana jika niat mementingkan keuntungan akan dapat mendatangkan kesusahan kepada pengguna,” kata setiausaha agung gabungan itu Muhammad Sha'ani Abdullah.

Beliau berkata, bidang strategik seperti pengeluaran beras tidak harus diswastakan seperti yang berlaku sekarang.

Wang Tak Co Ltd, sebuah syarikat yang berpangkalan di Hong Kong, sejak awal tahun lepas dilaporkan sedang menguasai saham Bernas sehingga lebih 25 peratus.

Syarikat tunggal pengedaran beras negara itu asalnya sebuah agensi kerajaan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) yang diswastakan pada 1996.

Muhammad Sha'ani berkata, Bernas seharusnya melaksanakan tanggungjawab kepada kerajaan dan pengguna untuk memberikan harga yang berpatutan.

Kerajaan, katanya, harus mengawal pihak pemegang saham agar keputusan yang diambil oleh mereka tidak dapat memanipulasi masalah kekurangan bekalan beras.

"Perjanjian yang dimeterai bersama Thailand hari ini diharap tidak disalah guna dengan mengeksport bekalan beras ke tempat lain untuk mengaut keuntungan daripada persetujuan harga beras yang rendah," katanya.

Beliau juga mencadangkan kerajaan mengeluarkan stok penimbal bagi mengawal kenaikan harga dan kekurangan bekalan.

"Beras seharusnya dikeluarkan dari stok penimbal ke pasaran agar masalah kekurangan beras dapat diselesaikan," katanya.

Sementara itu, presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Mohamud berkata, kerajaan perlu mengambilalih sepenuhnya saham Bernas supaya kepentingan pengguna dapat dilindungi.

Katanya, Bernas seharusnya tidak mengutamakan keuntungan semata-mata kerana ia merupakan satu bidang yang strategik kerana ia membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.

“Oleh kerana diswastakan, Bernas pada bila-bila masa boleh disabotaj oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Malaysiakini .

Semalam kerajaan telah mengambil lima tindakan untuk menangani isu beras, antaranya, menetapkan harga siling beras Super Special Tempatan (SST) lima peratus ditetapkan pada RM2.80 sekilogram manakala beras SST 10 peratus pada RM2.70, dan mengekalkan beras Super Tempatan 15 peratus sebagai beras yang dikawal harga antara RM1.65/kg hingga RM1.80/kg mengikut zon.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
ADS
Paling Popular
Terkini
ADS