Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Najib tuduh pembangkang reka isu komisyen
Diterbitkan:  May 14, 2008 9:30 PM
Dikemaskini: 6:35 PM

Timbalan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menuduh pembangkang sengaja mengada-adakan isu komisyen dalam pembelian kapal selam Scorpene dan pesawat pejuang Sukhoi, semata-mata untuk membakar hati rakyat.

"Isu komisen yang diada-adakan ini adalah sangat jelas direka, dimanipulasi dan sengaja disalahertikan oleh pembangkang sehingga mereka tidak pernah menghiraukan kesan buruk terhadap imej ATM dan keselamatan negara.," katanya.

Najib berkata, tuduhan bahawa kerajaan membayar komisen bagi pembelian kapal selam dan Sukhoi adalah satu rekaan yang diatur, secara berterusan demi kepentingan politik pembangkang untuk mengelirukan rakyat., demikian menurut laporan Bernama.

"Ia dibuat semata-mata untuk membakar hati rakyat dan bukan menegakkan kebenaran," tegasnya ketika menggulung perbahasan usul terima kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu, di sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ketua pembangkang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ketika membahaskan usul itu baru-baru ini, membangkitkan isu berkenaan dengan mendakwa berlakunya rasuah dalam perolehan dua buah kapal selam Scorpene dan 18 buah pesawat pejuang Sukhoi.

"Oleh itu Kementerian Pertahanan menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat ahli Parlimen Permatang Pauh ini tidak berasas sama sekali," katanya.

Najib sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak ada dan tidak pernah membayar komisen bernilai EURO114.96 juta kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd berkaitan pembelian kapal selam Scorpene.

Rundingan terus

Sebaliknya, kata beliau, perolehan dua buah kapal selam itu dibuat secara runding terus, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Perancis dan Sepanyol yang mendapat persetujuan kerajaan masing-masing.

Menjelas lanjut, Najib berkata bayaran EURO114.96 juta kepada Syarikat Perimekar Sdn Bhd bukanlah sebagai komisen, tetapi sebagai bayaran kepada perkhidmatan koordinasi dan sokongan kepada Pasukan Projek Kapal Selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Cherbourg, Perancis dan Cartegana Sepanyol serta pelatih kapal selam di Brest, Perancis.

Syarikat Perimekar Sdn Bhd dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead Holdings Sdn Bhd dan K.S Ombak Laut Sdn Bhd.

"Kerajaan tidak membuat sebarang rundingan pembelian dengan syarikat Perimekar Sdn Bhd. Sebaliknya syarikat itu yang didakwa terlibat dalam pembelian dan menerima komisen, sebenarnya diberi kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh enam tahun," katanya.

Perkhidmatan sokongan dan koordinasi yang disediakan antaranya termasuk menyediakan kemudahan kediaman serta kelengkapan untuk team projek bagi 27 keluarga pegawai di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun, menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga mereka dan krew kapal selam di Perancis dan Sepanyol; membayar elaun harian dan elaun krew kapal selam sebanyak EURO50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan EURO60 sehari seorang untuk tiga tahun kedua.

Ia juga bertanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia yang berpotensi untuk menyertai program off set dan membantu kontraktor utama dalam memberi maklumat tentang prosedur kerajaan berhubung pelaksanaan kontrak.

Najib berkata nilai kontrak itu, EURO114.96 juta dibayar secara berperingkat mengikut kemajuan projek kapal selam dan sehingga kini EURO95.54 juta (83.11 peratus) dibayar kepada syarikat itu.

Pesawat Sukhoi

Pembelian dua buah kapal selam itu dibuat pada 2002, yang menyaksikan kerajaan akan menerima kapal selam pertama -- Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman pada Januari 2009 manakala KD Tun Razak dijangka diserah pada Oktober 2009 dan tiba di negara ini pada Mac 2010.

Berkaitan perolehan pesawat pejuang Sukhoi pula, Najib turut menegaskan bahawa kerajaan juga tidak membayar sebarang komisen kepada Syarikat IMT (M) Defence Sdn Bhd seperti didakwa.

Berhubung isu perbezaan dalam harga pembelian pesawat Sukhoi yang dikatakan lebih mahal berbanding yang dibeli oleh India, Najib berkata perbezaan harga adalah disebabkan konfigurasi pesawat yang berbeza selain bilangan pesawat yang dibeli tidak sama.

Katanya, Malaysia hanya membeli 18 buah berbanding 180 oleh pihak India, sambil menjelaskan bahawa sebelum memuktamadkan harga dengan Rusia berhubung perolehan itu, kerajaan membuat kajian termasuk membuat perbandingan harga dengan Tentera Udara India.

Dalam pada itu Najib menolak tanggapan bahawa perolehan peralatan ketenteraan tidak menjamin keselamatan negara.

Sebaliknya Malaysia mengguna pakai konsep "defensive posture" dan segala usaha yang dilaksanakan untuk membangunkan keupayaan ketenteraan adalah berasaskan kepada keupayaan, iaitu menjurus kepada pembangunan keupayaan kredibel yang diperlukan bagi mempertahankan kepentingan negara dari ancaman luar demi mempertahankan kedaulatan negara.

Kes Altantuya

Di akhir penggulungannya, Najib turut menyentuh perbicaraan di Mahkamah Tinggi mengenai pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengannya, apabila menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengenali apatah lagi berjumpa dengan wanita Mongolia itu.

"Namun demikian, Alhamdullillah saya masih dapat bertahan dari segala tohmahan dan fitnah yang cuba dilemparkan dengan niat untuk mencemarkan nama saya," katanya enggan membuat komen panjang kerana kes itu masih dalam perbicaraan.

"Biarlah mahkamah terus menjalankan peranan dan tanggungjawab menegakkan keadilan di negara ini tanpa ada apa-apa gangguan dari mana-mana pihak.

Dalam masa yang sama juga saya berdoa semoga kebenaran akan terserlah demi kedaulatan undang-undang yang sama-sama kita junjung," katanya.

ADS