Tindakan undang-undang terhadap pengerusi DAP Karpal Singh "tidak boleh diterima" apabila beberapa tokoh lain yang mengulas isu seumpamanya tidak dikenakan tindakan serupa, kata Majlis Peguam.

"Majlis Peguam mendesak pihak berwajib berpada-pada dalam hubungannya dengan tindakan yang dicadangkan terhadap Karpal," kata presidennya Datuk Ambiga Sreenevasan.

Siasatan terhadap peguam terkenal itu susulan 20 laporan polis yang dibuat terhadapnya selepas kenyataannya mengulas dakwaan "campur tangan" Raja-raja Melayu dalam pentadbiran negeri, termasuk di isu pelantikan menteri besar Terengganu dan pertukaran pengarah jabatan agama Perak.

Ambiga berkata perkembangan politik selepas pilihanraya umum 8 Mac telah melonjakkan perdebatan banyak pihak, termasuk pemimpin-pemimpin BN, tentang kuasa dan bidang Raja-raja Melayu dalam pentadbiran politik di Terengganu, Perlis dan Perak.

"Sekarang kelihatannya hanya Karpal diugut untuk dikenakan pendakwaan akibat terlibat dalam perbahasan tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas pelantikan Datuk Ahmad Said sebagai menteri besar baru Terengganu pada 23 Mac lalu sebagai ganti Datuk Seri Idris Jusoh yang menjadi pilihannya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata istana Terengganu "tidak mengikut perlembagaan".

"Semua Adun yang bilangannya agak besar itu tetap menyokong Datuk Seri Idris Jusoh. Itu satu perkara yang tidak ada perubahan dari segi sokongan.

"Dengan itu, maka sebarang lantikan yang dibuat terhadap orang lain itu, tidak kena dengan Perlembagaan," perdana menteri dilaporkan berkata.

Pemimpin-pemimpin Umno juga mempertikaikan istana dalam isu perebutan jawatan menteri besar Perlis.

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini