S'jaya video: Siasat Mahathir & 5 lagi

   

Suruhanjaya diraja yang menyiasat skandal klip video Lingam mengesyorkan supaya mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan lima orang lagi disiasat berhubung peranan mereka dalam pelantikan hakim-hakim.

zaid ibrahim parliament pc 080508 02 Lima tokoh tersebut - dua bekas ketua hakim negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Eusoff Chin, peguam kanan Datuk VK Lingam, bekas menteri pelancongan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga setiausaha agung Umno serta tokoh perniagaan Tan Sri Vincent Tan.

Suruhanjaya itu mengesyorkan supaya mereka disiasat bawah Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi (OSA), Kanun Keseksaan dan kerana menghalang proses keadilan.

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata hari ini bahawa kabinet telah mengarahkan Pejabat Peguam Negara untuk memulakan siasatan secepat mungkin terhadap keenam-enam mereka.

Sebelum itu, Zaid berkata kerajaan memutuskan untuk mengumumkan laporan suruhanjaya diraja itu.

Orang ramai boleh membeli laporan tersebut mulai minggu depan pada harga RM542.10 senaskhah.

Salinan laporan

Laporan setebal 191 halaman itu telahpun diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lepas.

bm version lingam tape probe the gang of six Suruhanjaya diraja itu dianggotai bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Haidar Mohamed Noor sebagai pengerusi, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Mahadev Shankar, bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, bekas Peguam Cara Negara Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh dan ahli sejarah profesor emeritus Datuk Dr Khoo Kay Kim.

Suruhanjaya itu dibentuk bagi menyiasat klip video 14 minit yang didakwa memaparkan seorang peguam Lingam, sedang bercakap menerusi telefon dengan seorang yang didakwa hakim kanan, kononnya bagi mengatur pelantikan hakim.

Seramai 21 saksi termasuk Dr Mahathir dan tiga bekas ketua hakim negara dipanggil memberi keterangan dalam siasatan yang memakan masa selama 17 hari bermula 14 Januari lalu.

Menurut Zaid, suruhanjaya tersebut telah mengenalpasti dan membuat keputusan bahawa rakaman klip itu adalah sahih dan mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap individu-individu yang dikenalpasti dan dikatakan telah melakukan kesalahan tertentu.

Lanjutan daripada hasil siasatan tersebut, katanya, maka ada kemungkinan berlaku kesalahan-kesalahan di sisi undang-undang seperti yang dihuraikan dalam laporan suruhanjaya berkenaan.

"Jemaah menteri bersetuju supaya Jabatan Peguam Negara memulakan siasatan serta-merta ke atas segala tuduhan terhadap individu-individu yang dinamakan dalam laporan tersebut.

lingam tape 160508 report "Jemaah menteri mengambil kira cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh suruhanjaya untuk memperbaik proses pelantikan hakim supaya menjadi lebih telus dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan dan juga untuk meningkatkan kepercyaan orang ramai terhadap badan kehakiman," katanya.

Siasatan adil

Dalam hal itu, katanya, kerajaan sedang menggubal undang-undang yang perlu untuk penubuhan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).

"Kerajaan juga berhasrat untuk mengiktiraf kuasa mahkamah (judicial power) seperti yang dicadangkan oleh suruhanjaya mengenai rakaman klip video yang mengandungi imej seorang yang dikatakan sebagai peguambela dan peguamcara berbual melalui telefon mengenai urusan pelantikan hakim," tambahnya.

Sehubungan, tegas Zaid, jemaah menteri meminta dan menyeru kepada masyarakat umum, termasuk pihak media untuk membiarkan proses siasatan berjalan secara biasa tanpa tekanan ataupun sebarang prejudis terhadap mana-mana individu yang disebut dalam laporan tersebut.

"Perlu diingatkan bahawa dalam sistem perundangan kita, seseorang yang dituduh atau dikaitkan dengan sesuatu kesalahan itu adalah tidak bersalah sehingga mahkamah memutuskan perkara tersebut," tambahnya.

bar council judiciary dinner 170408 ambiga Sementara itu Majlis Peguam mengalu-alukan keputusan kabinet untuk mengumumkan kepada awam laporan siasatan diraja yang menyiasat klip video Lingam itu.

Presidennya, Datuk Ambiga Sreenevasan rakyat berhak mengetahui laporan penuh hasil siasatan suruhanjaya tersebut serta asas-asas ianya dibuat.

Sehubungan itu, katanya, dalam satu kenyataan petang ini, siasatan peguam negara mestilah dijalankan secara adil, terperinci dan dengan segera, bagi memastikan tiada apa pun yang disembunyikan.

Ini, katanya, penting kerana siasatan-siasatan seumpamanya yang dijalankan oleh pihak berkuasa sebelum ini akhirnya ditutup begitu sahaja, tanpa diambil sebarang tindakan lanjut.

Malaysiakini
terkini untuk anda