mk-logo
Berita
Syarikat kaya-raya dapat gas subsidi
Diterbitkan:  May 21, 2008 1:08 PM
Dikemaskini: 1:29 PM

Syarikat-syarikat pengeluar tenaga independen (IPP) mendapat keuntungan berlipat kali ganda akibat sistem subsidi bahan api yang tidak masuk akal.

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi hari ini mengakui "tidak munasabah" IPP mendapat bekalan gas dengan harga RM6.40 bagi setiap mmBtu (juta unit Termal British) sedangkan harga pasaran RM41 mmBtu.

Menterinya Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, Petronas sendiri menjual gas kepada IPP di bawah harga kos pengeluarannya, sebanyak RM15 hingga RM16 mmBtu.

Tambahnya, keadaan ini menyebabkan "IPP mampu mengaut keuntungan yang tinggi."

"Penjualan gas kepada IPP adalah tidak munasabah sedangkan kos pengeluaran gas ialah RM15 hingga RM16 mmBtu dan harga pasaran pula mencecah RM41 mmBtu.

"Harga gas yang rendah ini membolehkan IPP mengaut keuntungan yang tinggi dan kementerian bersetuju untuk memastikan IPP tidak mengaut keuntungan yang berlebihan," katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Shahziman berkata, sekarang masa terbaik memastikan subsidi yang diberikan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan sasar yakni rakyat berpendapatan rendah.

"Pembetulan ini akan dilakukan dengan mengambil kira tiga perkara iaitu harga gas, menyeimbangkan keuntungan IPP dan memastikan rakyat tidak terjejas daripada kenaikan tarif elektrik," katanya.

Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) kemudian bangun bertanya bila pembetulan itu akan dijalankan memandangkan IPP kini mengaut keuntungan yang besar.

Belia mengambil contoh sebuah syarikat IPP di Terengganu yang mengaut untung RM1.5 juta sehari, RM40 juta sebulan dan RM500 juta setahun.

Shaziman menjawab, kementeriannya akan memastikan ia diperbetulkan secepat mungkin.

"Beri saya peluang untuk memberi penerangan kepada kabinet agar dapat membuat keputusan yang baik untuk negara ini," katanya.

Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini